editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sekali lagi mempamerkan keunggulan muzik tempatan, dengan dua bintang hebat di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera, mencuri tumpuan dengan persembahan yang penuh magis.
Tidak hanya memukau, kedua-duanya berjaya menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia, membuktikan bahawa bakat, emosi, dan dedikasi mereka mampu menghasilkan pengalaman luar biasa bagi peminat muzik tempatan.
Momen yang menyentuh hati turut hadir sebelum acara besar ini, apabila Hael menerima kejutan istimewa berupa mikrofon bertatahkan kristal Swarovski berwarna hijau, yang turut dipadankan dengan busana rekaan pereka terkenal Rizman Ruzaini.
Hadiah ini datang dari seseorang yang amat bermakna dalam hidupnya, menjadikan momen terbabit lebih emosional dan peribadi.

Bagi Nadeera pula, perjalanan menuju AJL39 disertai dengan pelbagai emosi mendalam.
Momen paling bermakna baginya adalah ketika mendengar lagunya pertama kali berkumandang di Axiata Arena, yang juga impian dan akhirnya menjadi kenyataan setelah bertahun-tahun berjuang.
Di karpet merah dan semasa persembahan, Nadeera tampil menawan dengan gaun merah rekaan Farrarahim Atelier, diserikan dengan barang kemas eksklusif dari jenama Ceres Jewels bernilai RM2 juta.
Hael pula, dengan penampilan penuh gaya, mengenakan rekaan daripada jenama terkenal Dolce & Gabbana, yang menambah aura bintang pada malam berkenaan.

Selain penampilan, persiapan vokal juga diberi perhatian serius. Kedua-dua artis menjalani latihan vokal intensif bersama guru vokal tersohor, Dato’ Syafinaz Selamat, dibantu oleh Cikgu Azrin Nor, memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan persembahan yang luar biasa.
Nadeera yang tampil anggun dalam busana putih oleh Haute Couture by Rizalman Ibrahim sepatutnya mempamerkan gimik ‘flying veil’ dalam persembahannya.
Namun, atas sebab teknikal, pihak Rocketfuel Entertainment dan Huge Entertainment House terpaksa melakukan perubahan di saat akhir dan menggantikannya dengan ‘The Fallen Veil’.
Walaupun begitu, Nadeera menguasai pentas dengan penuh yakin dan berjaya meraih ‘standing ovation’ dari penonton, yang jelas terpesona dengan vokalnya dan penghayatan mendalam dalam lagu “Bukan Lagi Kita”.
Tidak kurang hebatnya, Hael Husaini turut mengukir momen tersendiri ketika beliau terjatuh semasa menyanyikan lagu “Diam”.
Walaupun insiden kecil itu, Hael bangkit semula dengan profesionalisme tinggi dan meneruskan persembahan tanpa rasa gentar, membuktikan semangat ‘The show must go on’ yang diterapkannya.
Namun, momen yang paling menyentuh hati seluruh Malaysia adalah ketika Hael dilihat mengalirkan air mata ketika menyaksikan persembahan Nadeera.
Video reaksinya yang tular di media sosial mencetuskan perbualan hangat tentang sokongan dan hubungan erat antara kedua-dua bintang ini.
Rocketfuel Entertainment amat berbangga dengan pencapaian luar biasa kedua-dua artis berbakat ini.

Hael, sebagai bekas juara AJL, sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai komposer apabila lagu ciptaannya “Bukan Lagi Kita” dinobatkan sebagai salah satu lagu terbaik tahun ini.
Nadeera, yang sudah lama berjuang untuk mencapai impiannya, akhirnya berjaya menjadi naib juara AJL39, selepas hampir sedekad berusaha keras.
“Alhamdulillah, Nadeera berkongsi rezeki yang sangat besar dengan saya. Saya hanya doakan yang terbaik.
“Semoga Nadeera setaraf dengan artis-artis lain yang pernah berada di pentas AJL ini,” kata Hael.

“Dapat masuk ke final AJL ini sudah menjadi kemenangan buat diri saya dan menjadi naib juara ini adalah rezeki besar buat saya,” kata Nadeera pula.
Selepas kejayaan di AJL39, peminat pasti tidak sabar untuk melihat apa yang seterusnya untuk Hael dan Nadeera.
Rocketfuel Entertainment memberi bayangan bahawa kedua-dua artis ini bakal muncul dengan lebih banyak projek menarik dalam masa terdekat.

