29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 26, 2026

Carcosa Seri Negara bakal diberi wajah baharu menjelang Julai 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam tahun ditutup, ikon warisan negara, Carcosa Seri Negara, akan kembali dengan wajah yang segar dan lebih memukau menjelang Julai 2025 tahun ini.

Proses pemulihan dan pembangunan bangunan bersejarah ini kini giat dijalankan, dengan matlamat untuk mengembalikan kegemilangan sejarahnya yang kaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata usaha ini adalah selaras dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan persediaan bagi Asean-Malaysia 2025.

Menurutnya, projek ini bertujuan untuk memastikan warisan negara yang berharga ini terus dihargai dan dipelihara.

“Insya-Allah, pembangunan semula Carcosa Seri Negara ini dijangka siap pada Julai tahun ini.

“Kami berhasrat untuk mengadakan program khas seperti majlis minum petang bagi memperkenalkan Heritage Malaysia kepada delegasi-delegasi luar negara,” kata Dr. Zaliha dalam hantaran Facebooknya.

Menerusi kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Khazanah Nasional, projek ini akan menjadi bintang kedua dalam usaha pemuliharaan warisan di Kuala Lumpur.

Dalam hantaran yang sama, Dr. Zaliha turut berkongsi foto beliau meninjau tapak pembangunan semula Carcosa Seri Negara sebagai sebahagian daripada Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD).

Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama akan menyaksikan pemuliharaan bangunan ikonik ini untuk dijadikan muzium serta galeri seni, sementara fasa kedua pula akan menyaksikan pembangunan Hotel Lindungan-Eko, yang menggabungkan kemudahan bertaraf dunia dengan prinsip kelestarian alam.

“Kerajaan komited untuk menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebuah bandar raya moden, tetapi juga sebuah kota yang kaya dengan sejarah dan budaya,” katanya.

Carcosa Seri Negara, yang telah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, telah ditutup sejak 1 Jun 2019 setelah kerajaan Persekutuan mengambil alih premis bersejarah ini daripada pihak ketiga.

Dibina oleh Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Carcosa Seri Negara telah menjadi simbol penting dalam sejarah negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular