32.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Tujuh artis indahkan suasana Ramadan menerusi ‘Ijmal Cinta Ramadan 2.0’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan yang penuh berkat, rahmat, dan kebajikan akan kembali, menawarkan peluang untuk meraih pahala berganda.

Bagi mereka yang menyedari keistimewaan bulan suci ini, Ramadan menjadi masa untuk mempertingkatkan ibadah, mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta memperbanyakkan amal kebajikan.

Setiap tahun, banyak pihak mengambil peluang untuk meraih keberkatan bulan mulia ini dengan menganjurkan program-program dakwah dan kebajikan.

Salah satu acara yang dinantikan ialah Ijmal Cinta Ramadan, yang kini kembali dengan edisi kedua, Ijmal Cinta Ramadan 2.0.

Berlangsung pada 21 Mac 2025 di Saloma, Kuala Lumpur, program ini akan menampilkan tujuh artis popular tanah air yang akan memeriahkan suasana Ramadan, antaranya Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays, dan Zamani Slam.

Penganjur acara, Datin Ismariza bersama rakan kongsi Mubarak Akhtar, berkata Ijmal Cinta Ramadan 2.0 akan menampilkan persembahan yang mengangkat nilai-nilai spiritual, selari dengan keindahan bulan Ramadan.

“Bagi mereka yang membeli tiket, ia bukan sahaja peluang untuk menikmati hiburan, tetapi juga untuk beramal.

“Kami akan memulakan acara dengan tadarus al-Quran dan tazkirah yang menyentuh hati, diikuti dengan berbuka puasa bersama.

“Seterusnya, solat Maghrib berjemaah akan dilakukan, diikuti dengan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan,” katanya.

Acara ini juga akan menyediakan peluang untuk melakukan solat Isyak dan tarawih secara berjemaah sebelum memulakan persembahan artis.

Tambahan pula, penganjur tidak lupa untuk memberikan sumbangan kepada 10 anak seni yang menghadapi kesulitan kesihatan dan kewangan, menjelang Aidilfitri.

“Pada acara kali ini, kami turut meraikan 10 anak seni yang sedang menghadapi cabaran hidup.

“Ini adalah usaha kami untuk sedikit sebanyak meringankan beban mereka menjelang sambutan raya yang bakal tiba,” kata Mubarak pula.

Mengenai tujuh artis yang terbabit, Mubarak berkata, mereka adalah nama besar dalam industri muzik Malaysia dengan peminat yang setia.

“Kesemua artis ini tidak hanya terkenal, tetapi juga memiliki kelompok peminat yang kuat.

“Kesudian mereka untuk terbabit dalam program ini sangat kami hargai, dan kami yakin peminat mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk hadir,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular