30.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026

Isu tulisan Cina di Jalan Petaling: Hentikan fitnah dan spekulasi yang menggugat keharmonian

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang mengatakan terdapat arahan untuk menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Petaling adalah tidak benar dan rekayasa yang tidak berasas.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menafikan perkara terbabit.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan identiti setiap kaum di Malaysia, sesuai dengan semangat perpaduan yang menjadi asas negara ini.

“Penyebaran dakwaan palsu ini harus dihentikan segera. Mereka yang terbabit dalam penyebaran fitnah ini perlu bertanggungjawab dan memohon maaf kepada komuniti yang terkesan,” katanya.

Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dalam arena politik, Azman menegaskan pentingnya berhati-hati dalam menilai maklumat sebelum ia disebarkan kepada umum.

Beliau juga mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu tidak hanya mencetuskan keresahan, tetapi juga berisiko merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Dalam suasana politik dan sosial yang semakin mencabar ini, kita semua perlu berwaspada sebelum mengeluarkan kenyataan yang berpotensi memecahbelahkan rakyat.

“Hormatilah identiti dan warisan setiap kaum di Malaysia dan elakkan dari menangguk di air keruh demi kepentingan politik sempit,” katanya lagi.

Azman berkata, kepelbagaian budaya dan identiti kaum harus diraikan dalam semangat perpaduan yang terkandung dalam ikrar Rukun Negara.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan ini dan tidak memberi ruang kepada pihak-pihak yang cuba memainkan isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan, komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan perpaduan masyarakat terus terpelihara daripada ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat dan memastikan fakta yang disebarkan diperoleh daripada sumber yang sahih,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular