editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora Ariffin, mengambil tindakan undang-undang terhadap Alia yang juga anak tirinya, ekoran penyebaran kenyataan fitnah yang telah mencemarkan reputasinya dan menjejaskan kerjayanya sebagai seorang artis.
Menurut Nora, sejak tahun 2019, Alia telah memuat naik pelbagai kenyataan di media sosial yang menyebabkan kebencian terhadapnya.
Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah yang diterbitkan sebelum konsertnya “Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)” yang berlangsung pada 18 Disember 2024.
Kenyataan terbabit jelas memberi impak negatif terhadap promosi dan penjualan tiket konsert berkenaan.
“Saya dan suami (Dr Rushdi) telah berusaha untuk mendamaikan perkara ini dan beberapa kali cuba mengaturkan pertemuan dengan Alia dan Puan Rose.
“Pada 2 Disember 2024, kami telah menghantar surat jemputan untuk sesi mediasi, namun Alia memilih untuk tidak hadir dan mengabaikan usaha penyelesaian secara baik ini,” katanya.
Menyedari kesan besar dari tindakan Alia, Datuk Nora yang telah berkecimpung dalam industri muzik sejak tahun 1991, turut menerima pelbagai tohmahan tidak berasas dan kebencian yang melampau dari orang ramai, sekali gus mencalar imejnya.
Pada 4 Februari 2025, Nora melalui peguamnya, Tetuan Sarah Ali & Co, telah mengeluarkan Notis Tuntutan yang antara lain menuntut Alia untuk:
-Berhenti menyebarkan kenyataan fitnah di mana-mana platform media sosial.
-Mengalih keluar sebarang kandungan berunsur fitnah yang telah dimuat naik.
-Memohon maaf secara terbuka dan menerbitkan permohonan maaf di platform media sosial selama sebulan.
-Pembayaran kompensasi atas kerugian yang telah ditanggung.
Namun, balasan yang diterima dari Alia pada 21 Februari 2025, hanya menunjukkan niat untuk memadamkan kenyataan-kenyataan yang telah dimuat naik atas permintaan Rushdi, tanpa sebarang permohonan maaf atau pembayaran kompensasi.
Ini menambah kekecewaan Nora yang berpendapat balasan terbabit tidak mencukupi, terutama setelah mengalami banyak kesan negatif dari tindakan itu.
Walau bagaimanapun, demi menjaga keharmonian, pada 24 Februari 2025, Nora merendahkan hati dan memohon maaf secara terbuka dengan harapan dapat menyelesaikan kemelut ini dan berdamai dengan Puan Rose serta Alia.
“Tindakan saya memohon maaf ini adalah untuk mendamaikan keadaan, namun saya berharap agar pihak yang terbabit bertanggungjawab atas tindakan yang telah menyebabkan kerugian dan reputasi saya tercemar,” katanya.
Dalam situasi ini, Nora menegaskan penyebaran kenyataan tidak benar boleh menjejaskan banyak pihak dan berharap agar kes ini menjadi pengajaran untuk semua.