editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bagi berkongsi rezeki dengan masyarakat, Perfume Paradise, bersama personaliti media sosial terkenal Abam Panda, menjalin kerjasama menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Kongsi Rezeki Perfume Paradise X Abam Panda”.
Program ini akan diadakan di Flat Danau Kota, Jalan Genting Klang, di sini, dengan hasrat untuk diperluaskan ke lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) di masa hadapan.
Program ini bertujuan membantu komuniti setempat dengan pengagihan lebih 300 ekor ayam secara percuma kepada penduduk PPR, berdasarkan konsep ‘first come, first serve’ tanpa mengira latar belakang.
Pengasas Perfume Paradise, Nur Afiqah, berkata kejayaan syarikat dalam industri wangian telah menjadi pemangkin untuk mereka melaksanakan lebih banyak inisiatif kebajikan.

“Dengan pencapaian memberangsangkan yang kami capai, ini adalah masa terbaik untuk kami berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.
Kolaborasi bersama Abam Panda muncul apabila kedua-dua pihak menyedari bahawa beliau adalah ikon kepada banyak ketua keluarga yang berusaha keras untuk mengubah kehidupan mereka.
Melalui kerjasama ini, mereka berharap dapat mempereratkan hubungan dengan masyarakat dan terus menyokong golongan yang memerlukan.
Abam Panda bukan sahaja menjadi wajah utama program ini, tetapi beliau juga akan turut serta dalam pengagihan sumbangan di lokasi.

Selain itu, beliau turut merancang untuk terus bekerjasama dengan Perfume Paradise bagi inisiatif CSR akan datang.
Abam Panda berkata, Flat Danau Kota mempunyai nilai sentimental kerana beliau dan isteri pernah tinggal di situ sebelum berpindah ke rumah yang lebih selesa.
“Kami pernah tinggal di flat ini ketika baru berkahwin. Di sinilah saya dan isteri bermula secara suka-suka membuat kandungan di media sosial dan tidak sangka ia membawa tuah kepada kami sekeluarga.
“Kami menerima banyak tawaran daripada pelbagai jenama. Memang tidak dinafikan kerja sebagai ‘rider’ sangat mencabar, saya sendiri bekerja sehingga tengah malam untuk menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, Perfume Paradise sebelum ini terbabit dalam beberapa program CSR, termasuk menerusi program “Kongsi Kasih” terbitan Astro.
Dengan pelancaran Kongsi Rezeki Perfume Paradise X Abam Panda, syarikat berharap bukan sahaja dapat membantu komuniti tetapi juga meningkatkan kesedaran jenama di seluruh Malaysia.
Sebagai langkah jangka panjang, Perfume Paradise bercadang untuk menjadikan inisiatif CSR ini bukan hanya acara tahunan, tetapi juga boleh diadakan secara berkala, sama ada mingguan atau bulanan, bergantung kepada keputusan pengurusan.
Dengan permulaan yang positif ini, Perfume Paradise berharap agar program “Kongsi Rezeki” dapat terus berkembang dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk bersama-sama membantu masyarakat yang memerlukan.


