28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 103

Baucer minyak dan bantuan untuk anak Pahang di perantauan sempena Aidilfitri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebagai inisiatif kerajaan negeri Pahang bagi memudahkan anak-anak Pahang yang berada di perantauan pulang menyambut Aidilfitri, Menteri Besar Pahang, telah melancarkan Program Penyerahan Baucer Minyak “Moh Balik Raya” di kampung.

Menterinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program ini bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan dan juga menjadi platform bagi kerajaan negeri berkongsi perkembangan terkini di Pahang.

Menurutnya, program ini adalah satu langkah positif untuk menjalin komunikasi secara langsung dengan anak-anak Pahang yang berada jauh di luar negeri.

“Program ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada mereka yang ingin pulang beraya, tetapi juga membuka ruang untuk kerajaan negeri berkongsi perkembangan penting mengenai Pahang,” katanya.

Beliau turut berkongsi pencapaian Pahang yang membanggakan, antaranya peningkatan rizab Melayu yang kini mencapai 400,000 hektar berbanding 200,000 hektar pada tahun 1955, iaitu peningkatan sebanyak 12.34 peratus.

Wan Rosdy juga mengumumkan beberapa bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyat Pahang, termasuk:

-Bantuan RM400 untuk pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

-Bantuan RM750 untuk mereka yang menunaikan haji.

-Pembinaan rumah rakyat Pahang sebanyak 8 buah di setiap daerah bagi keluarga yang menghadapi masalah perumahan.

Program ini telah menyaksikan kehadiran seramai 1,000 anak Pahang, sementara 4,000 lagi akan menerima baucer minyak di kawasan masing-masing apabila mereka pulang ke kampung halaman.

“Kami berharap anak-anak Pahang yang berada di perantauan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negeri kelahiran mereka dan turut serta dalam usaha memakmurkan Pahang,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan peserta untuk berhati-hati di jalan raya dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pulang beraya.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy, yang menyasarkan bantuan kepada 5,000 anak Pahang, dengan fokus utama pada mereka yang belum menerima bantuan pada tahun 2024.

Inisiatif ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada anak-anak Pahang di perantauan, membantu mereka pulang dengan lebih mudah dan selamat, serta mempereratkan lagi hubungan mereka dengan negeri kelahiran.

10 artis veteran terima sumbangan Hari Raya daripada Masjid Al-Mukhlisin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seramai 10 artis veteran dari era 70-an dan 80-an telah menerima sumbangan Hari Raya sebanyak RM1,000 setiap seorang, yang disampaikan dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana anjuran Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras.

Sumbangan itu adalah peruntukan peribadi sebanyak RM10,000 yang disalurkan oleh Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin, Datuk Ahmad Nazri Ibrahim.

Artis-artis yang menerima sumbangan termasuk A. Razak Ismail, Datin Effa Rizan, Zaiton Samion, Junainah M Amin, Hasnol Rahmat, J Mizan, A Rahman Onn, Azian Mazwan Safuan, S Mariam, dan Uji Rashid.

Majlis yang berlangsung setiap tahun pada bulan Ramadan ini turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan sebagai tanda sokongan kepada usaha murni berkenaan.

Ahmad Nazri berkata, pemilihan artis-artis veteran ini dibuat berdasarkan kenalan mereka yang mengenali golongan berkenaan serta cadangan mereka bagi memilih artis yang layak menerima sumbangan.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Ahmad Nazri berkata, inisiatif ini adalah usaha untuk membantu artis veteran, yang walaupun telah berjasa mengharumkan nama negara, kini ada yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan memerlukan sokongan.

“Mereka adalah rakyat Malaysia dan adalah tanggungjawab kita untuk membantu mereka, sama seperti mereka pernah mengharumkan nama negara suatu masa dahulu,” katanya.

Masjid Al-Mukhlisin berharap agar lebih banyak pihak dapat memberi sokongan kepada golongan artis veteran ini agar mereka dapat meraikan Hari Raya dengan penuh kegembiraan dan tanpa kekurangan.

Selain itu, dalam majlis yang sama, sebanyak RM40,000 diperuntukkan untuk 200 asnaf, yang terdiri daripada ibu tunggal dan anak yatim.

Setiap penerima asnaf menerima RM200. Tidak ketinggalan, sumbangan turut diberikan kepada beberapa institusi pendidikan dan surau, termasuk RM1,000 kepada Sekolah Rendah Agama (SRA), RM1,000 untuk Sekolah Anak Yatim Nur Shahira, serta sumbangan RM1,000 kepada tujuh surau yang berada di bawah Masjid Al-Mukhlisin.

Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan: Lebih RM30,000 sumbangan diterima

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM33,687 berjaya dikumpul menerusi Program Kongsi Rezeki Infaq Ramadan Tahfiz Berselawat, yang diadakan baru-baru ini.

Dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah di Keramat serta sebahagian daripadanya akan disalurkan kepada Adina Charity.

Program itu membabitkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk pelakon dan penyanyi Amaris, Pengerusi The Muslim World Women’s Summit, Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah, serta C.O.O SoftRein, Aman Rasyidi Mohd Noor.

Turut serta beberapa penaja lain seperti Bigo Live dan Bateriku.Com yang turut menyumbang bagi menjayakan misi program ini.

Selain itu, sebanyak 100 anak tahfiz turut menerima sumbangan duit raya pada majlis yang diadakan.

Mewakili penganjur, Amaris berkata, pihaknya terharu dengan sokongan padu yang diterima daripada pihak penaja, baik dalam bentuk wang tunai mahupun barangan.

“Saya sangat terharu kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Jika diikutkan, kami mengharapkan lebih, namun jumlah yang diterima sudah cukup untuk kami teruskan misi ini. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau turut berkongsi kegembiraannya dengan menerima tajaan dua buah kereta untuk kegunaan tahfiz, yang amat memudahkan urusan mereka.

Amaris berkata, pihaknya hanya bertindak sebagai sukarelawan bersama pasukan yang membantu melaksanakan misi ini.

“Setiap tahun, apa yang kami sasarkan, Alhamdulillah dipermudahkan dengan izin Allah. Kami berharap program ini dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Program ini berlangsung sepanjang tahun, tetapi lebih menarik perhatian sepanjang bulan Ramadan kerana banyak program disusun bagi membantu golongan yang memerlukan.

Amaris turut mengalu-alukan individu yang ingin memberi sumbangan secara langsung untuk menghubungi pasukannya dan hadir ke lokasi yang terbabit, termasuk rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat tahfiz, dan asnaf.

Dengan sokongan yang berterusan, program ini diharapkan dapat memberi manfaat lebih besar kepada mereka yang memerlukan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Program Wanita Mukminah Kepimpinan Berhikmah: Memperkasa wanita sebagai pemimpin berilmu dan berakhlak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Akademi Warisan Ummah (PEWARIS) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan program kepimpinan wanita bertemakan Wanita Mukminah Kepimpinan Berhikmah.

Program yang diadakan di Bandar Tun Razak ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata, program seperti ini sangat penting untuk memperkasa peranan wanita dalam kepimpinan yang berilmu dan berakhlak.

Beliau berkata, dunia kini memerlukan lebih ramai wanita yang berani, berwawasan, serta mempunyai hikmah dalam kepimpinan.

“Wanita tidak perlu takut untuk melangkah ke hadapan, memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, dan menjadi ejen perubahan ke arah masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.

Program ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan Hari Raya berupa baju kurung dan kuih raya kepada 1,000 penerima yang layak di sekitar Bandar Tun Razak.

Ini adalah satu lagi inisiatif PEWARIS untuk membantu komuniti yang memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi PEWARIS, Hanisah Azemi, berkata, program ini bertujuan untuk memperkasa peranan wanita dalam kepimpinan yang berlandaskan nilai-nilai Islam.

“Wanita Mukminah bukan sahaja berperanan dalam pembentukan keluarga yang harmoni, tetapi juga dalam kepimpinan masyarakat dan negara.

“Seorang wanita yang berilmu dan berhikmah mampu menjadi ejen perubahan yang membawa manfaat kepada ummah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan hadirin tentang tokoh-tokoh wanita dalam sejarah Islam seperti Saidatina Khadijah RA dan Saidatina Aisyah RA, yang telah memainkan peranan besar dalam membentuk hala tuju umat Islam.

“Sejarah Islam membuktikan bahawa wanita bukan hanya pelengkap, tetapi pemimpin yang memiliki keteguhan jiwa dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan,” katanya lagi.

Dalam dunia moden yang penuh cabaran, Hanisah menekankan pentingnya wanita untuk melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran, dan kebijaksanaan dalam kepimpinan.

Kepimpinan yang berhikmah, katanya, adalah kepimpinan yang berlandaskan nilai-nilai Islam, yang menekankan keadilan, kesederhanaan, dan kecekapan dalam membuat keputusan.

PEWARIS berharap melalui program ini, lebih ramai wanita akan tampil ke hadapan sebagai pemimpin yang berkaliber, berintegriti, dan mempunyai wawasan yang jelas untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.

Wanita perlu percaya bahawa kepimpinan bukan hanya untuk lelaki, tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang mempunyai kebolehan, ketulusan, dan tekad untuk berkhidmat demi kebaikan sejagat.

Jangan risau, JDT pasti menang: Amy Search balas permintaan peminat tukar tarikh konsert

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seorang peminat yang ingin menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan, meminta penyanyi legenda Datuk Amy Search menukar tarikh konsert solo pertamanya yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert Amy Search Magic First Solo Concert yang telah lama dinantikan itu bakal diadakan bersebelahan dengan Stadium Nasional, tempat berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia.

Namun, Amy Search yang juga berasal dari Johor Bahru, Johor, membalas permintaan peminat itu dengan tenang dan berseloroh, mengatakan peminat tidak perlu menonton perlawanan berkenaan kerana sudah pasti JDT akan memenangi perlawanan itu.

“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” katanya sambil ketawa.

Peminat itu bersetuju dengan kenyataan Amy akhirnya berkata, mereka akan tetap hadir ke konsert solo pertama Amy meskipun terlepas untuk menonton perlawanan bola sepak terbabit

“Terbaik datuk. Betul juga. Baiklah saya ‘on’ konsert Amy,” tulisnya dengan semangat.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengumumkan perubahan tarikh untuk aksi final Piala Malaysia 2025 yang kini berlangsung pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Walau bagaimanapun, Amy tetap berpegang pada tarikh yang telah ditetapkan untuk konsert solonya yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Setelah 44 tahun berkarier dalam industri muzik, Amy Search, yang juga dikenali sebagai Suhaimi Abdul Rahman, 67, menganggap konsert solo ini sebagai detik penting dalam sejarah kerjayanya.

“Amy Search Magic First Solo Concert” adalah acara yang dinanti-nantikan oleh peminat, selepas lebih empat dekad berkelana dalam dunia seni.

Tiket untuk konsert ini sudah mula dijual sejak 5 Februari lalu di platform www.wowtix.com.my.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan penuh magis daripada penyanyi legenda ini.

Raikan Hari Raya bersama HONOR: Nikmati penjimatan sehingga RM1,100 dan bawa pulang hadiah menarik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hari Raya bakal menjelang tiba dan ramai sudah tidak sabar meraikan lebaran bersama ahli keluarga dan sahabat handai.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan ini, HONOR Malaysia mengumumkan jualan HONOR Raya Sale yang akan bermula pada 24 Mac, jam 8 malam sehingga 27 Mac 2025 di kedai rasmi HONOR menerusi laman sesawang HONOR Malaysia, Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Semasa promosi masa terhadi ni, pelanggan boleh menikmati penjimatan besar dengan diskaun sehingga RM1,100 untuk telefon pintar, tablet, dan komputer riba HONOR yang terpilih.

Setiap pembelian datang dengan hadiah percuma menarik bernilai sehingga RM1,446.

Sebagai bonus tanbahan, pelanggan yang berbelanja RM1,500 ke atas akan menerima cerek HONOR Thermal Insulation Kettle bernilai RM129 secara PERCUMA, sementara stok ada, eksklusif semasa tempoh promosi ini.

HONOR Raya Sale adalah peluang terbaik untuk menghadiahkan peranti baharu kepada insan tersayang dan diri sendiri pada musim perayaan ini.

Berikut senarai peranti pada harga diskaun dan hadiah percuma sempena HONOR Raya Sale.  

ProdukHarga Runcit (RM)Selepas Diskaun Hadiah Percuma
HONOR Magic V36,9995,999Perlindungan Skrin 365 Hari HONOR
HONOR Magic7 Pro (512GB)4,599Pemegang Pengecas Tanpa Wayar HONOR SuperCharge, Penggantian Satu Sama Satu 180 Hari, Lanjutan Jaminan 1+1 Tahun dan sarung PU HONOR Magic7 Pro
HONOR Magic7 Pro (1TB)5,199Pemegang Pengecas Tanpa Wayar HONOR SuperCharge, Penggantian Satu Sama Satu 180 Hari, Lanjutan Jaminan 1+1 Tahun dan sarung PU HONOR Magic7 Pro
HONOR Magic6 Pro4,4993,399HONOR Earbuds X6, Lanjutan Jaminan 1+1 Tahun, Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari
HONOR 200 Pro2,6992,299HONOR Earbuds X6, Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari dan Cawan Kopi HONOR Talents
HONOR 200 5G (512GB)2,1991,599Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari dan Cawan Kopi HONOR Talents
HONOR 200 5G (256GB)1,8991,599HONOR Earbuds X6, Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari dan Cawan Kopi HONOR Talents
HONOR X9c 5G (256GB)1,4991,299HONOR Choice Earbuds X7e, Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari, Jaminan Bateri 36 Bulan dan Beg Kanvas HONOR Talents
HONOR X9c 5G Smart (256GB)1,099899Pemegang Telefon
HONOR X6b 4G599499 –
HONOR MagicBook Art 145,9995,499Beg Galas HONOR, Microsoft Office Siap Pra-pemasangan dan Lanjutan Jaminan 1+2 Tahun
HONOR Pad 22,7992,599HONOR Magic-Pencil 3 dan HONOR MagicPad 2 Smart Bluetooth Keyboard
HONOR Pad 9 5G1,7991,599HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard dan HONOR CHOICE Pencil
HONOR Pad 9 WiFi1,4991,299HONOR Pad 9 Smart Bluetooth Keyboard dan HONOR CHOICE Pencil
HONOR Pad X9 (128GB)1,099799HONOR Pad X9 Smart Bluetooth Keyboard
HONOR Pad X9 (256GB)1,199999HONOR Pad X9 Smart Bluetooth Keyboard
HONOR Pad X8a (128GB)799699Sarung Flip

HONOR Magic V3 – Telefon Boleh Lipat Dikuasakan AI yang Nipis Kini Hanya RM5,999

Jika anda berhasrat untuk memiliki HONOR Magic V3 sejak beberapa ketika, inilah masanya untuk mendapatkan telefon boleh lipat yang nipis dan ringan ini pada hanya RM5,999, dengan penjimatan besar RM1,000.

Reka bentuknya yang amat nipis dan tahan lasak memberikan rasa seperti memegang telefon flagship bar. Saiz skrin HONOR Magic V3 seperti tablet melancarkan multitugas dan meningkatkan produktiviti.

Dengan sistem operasi MagicOS 9 baharu, HONOR Magic V3 memiliki ciri-ciri AI seperti Face To Face Translation, AI Eraser, HONOR Notes dan Magic Portal.

Peranti ini juga mempunyai Bateri Karbon Silikon Generasi Ketiga 5,150mAh yang besar, disokong oleh pengecasan HONOR SuperCharge berwayar 66W dan tanpa wayar 50W.

HONOR Magic V3 tersedia dalam tiga warna menarik iaitu Mossy Green, Silk Brown dan Classic Black

Siri HONOR 200 – Tangkap Gambar Potret Berkualiti Studio dan Saat-saat Indah Pada Hari Raya

Bagi mereka yang mencari telefon pintar yang berupaya menghasilkan gambar potret berkualiti bertaraf studio untuk merakam saat-saat indah bersama keluarga dan rakan-rakan, Siri HONOR 200 adalah pilihan terbaik. 

Dengan diskaun sebanyak 14 peratus, anda boleh memiliki HONOR 200 Pro pada harga RM2,299 berbanding harga asal iaitu RM2,699.

Anda juga boleh mendapatkan HONOR 200 pada harga RM1,599 selepas diskaun 27 peratus daripada harga asal RM2,199.

Siri HONOR 200 memiliki AI Portrait Engine berkuasa untuk menangkap gambar potret berkualiti studio menerusi mod potret di Studio Harcourt.

Kedua-dua peranti ini menampilkan sistem kamera berkuasa yang terdiri daripada Kamera Utama 50MP, Kamera Telefoto 50MP dengan pengesan Sony IMX586 serta Kamera Ultra-lebar 12MP dan Kamera Makro.

Bagi memastikan gambar yang diambil jelas dalam semua situasi, Siri HONOR 200 juga dilengkapi dengan sistem anti-gegaran Dual OIS (OIS+EIS). HONOR 200 Pro tersedia dalam warna Ocean Cyan dan Moonlight White.

Manakala HONOR 200 didatangi dalam tiga warna menarik iaitu Coral Pink, Moonlight White dan Hitam.

Tandakan tarikh HONOR Raya Sale sekarang. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk merebut tawaran hebat dan hadiah percuma menarik semasa HONOR Raya Sale.

Lakonan kontroversi dalam ‘Keluarga Itu’ cipta fenomena, boikot ST Rosyam Mart hanya gurauan

0

editormaxinfo@gmail.com

KLANG – Lakonan Datuk Rosyam Nor sebagai Iman dalam drama Keluarga Itu yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat, apabila watak berkenaan dianggap miang dan menjijikkan oleh segelintir penonton.

Ada yang mendakwa akan memboikot pasar raya milik Rosyam, ST Rosyam Mart, akibat daripada kontroversi terbabit.

Rosyam yang juga Pengarah ST Rosyam Mart, menganggap seruan boikot itu hanya sekadar gurauan netizen di media sosial.

“Memang benar ada yang memberitahu saya watak Iman menyebabkan ada pihak mahu memboikot ST Rosyam Mart.

“Tapi sebenarnya mereka tidak serius. Mereka hanya bergurau. Dulu, ketika saya pertama kali ingin membuka ST Rosyam Mart pada 2018, ada juga yang mahu memboikot, namun Alhamdulillah, perkara itu sebenarnya membantu mempromosikan perniagaan saya,” katanya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan pusat beli-belah pertama ST Rosyam Mall dan cawangan kelapan ST Rosyam Mart yang terletak di Jalan Kebun, Klang, baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho.

Rosyam, yang dikenali dengan pelbagai watak hebat dalam dunia lakonan, turut menyifatkan watak Iman yang dibawanya bukanlah untuk sensasi semata-mata.

Sebaliknya, ia mengandungi mesej yang mendalam bagi memberi kesedaran kepada penonton.

“Watak yang saya bawa bukanlah sensasi. Sebenarnya, keadaan yang saya gambarkan itulah yang membuatkan watak ini menjadi panas.

“Mungkin ramai yang tahu perkara ini berlaku, tetapi mereka tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bukti.

“Melalui watak Iman, saya menggambarkan perasaan jijik dan seram yang dialami oleh mangsa-mangsa yang terbabit.

“Mereka melihat orang yang mereka sayang, tetapi sebenarnya orang itu adalah seorang binatang,” katanya.

Katanya lagi, watak Iman yang ditulis oleh Erma Fatima, menggambarkan seorang individu yang lebih teruk daripada iblis dan syaitan kerana tidak peduli terhadap darah dagingnya sendiri.

Namun, beliau turut memuji keberanian ramai yang kini mula tampil dan mengaku menjadi mangsa.

Rosyam juga menghargai setiap pujian dan komen positif dari penonton yang menyifatkan lakonannya dalam drama berkenaan sangat berkesan.

“Saya baca komen-komen mengenai kredibiliti lakonan saya. Pada usia saya sekarang, lakonan sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Saya juga percaya lakonan ini adalah satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang. Watak Iman telah menjadi fenomena, dan lebih daripada 300 juta orang telah bercakap mengenainya di media sosial.

“Saya bersyukur diterima baik walaupun sudah lama tidak muncul dalam drama bersiri,” katanya.

Drama Keluarga Itu yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra Sdn Bhd, berjaya menarik perhatian ramai kerana mengetengahkan isu sensitif yang berlaku dalam keluarga.

Watak Iman yang dipaparkan sebagai seorang lelaki miang dan menjijikkan terhadap darah daging sendiri, menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk seruan boikot terhadap perniagaan yang diusahakan oleh Rosyam.

Dalam perkembangan lain, Rosyam turut meluahkan rasa bangga apabila ST Rosyam Mart telah tersenarai dalam Asean Records sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara.

Ia turut dikenali sebagai pasar raya yang inovatif dengan menawarkan 21 perkhidmatan awam percuma, termasuk kemudahan pandu lalu mesra pelanggan.

Kempen ‘Senyum-Senyum Raya’ HLB: Meraikan kegembiraan dan amalan baik di musim raya

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLIB) melancarkan kempen bertemakan ‘Amalan’ yang menggalakkan amalan baik, termasuk pengurusan kewangan yang bijak, sebagai sumber kesyukuran dan kegembiraan.

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, HLB memperkenalkan lagu Raya bertajuk ‘Senyum-Senyum Raya’, yang disertakan dengan video muzik yang menampilkan duta HLB, Alif Satar.

Lagu yang dicipta oleh Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy, dan Ja’a ini, dinyanyikan oleh Alif Satar & The Locos, penuh dengan mesej kesyukuran dan kegembiraan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, kempen ini mencerminkan komitmen HLB dalam menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang membantu pelanggan mengurus kewangan mereka secara bijak.

“Kami berhasrat untuk memperluaskan penyelesaian kewangan yang diperibadikan kepada lebih ramai pelanggan.

“Hong Leong Islamic Bank juga memainkan peranan penting dalam menawarkan produk perbankan yang patuh Syariah, direka untuk memenuhi keperluan unik pelanggan kami.

“Kami ingin membantu meringankan beban kewangan pelanggan dan mengurus kewangan mereka dengan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB Zalman Zainal berkata, lagu dan video raya ini adalah sesuatu yang baru dari HLB untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kempen tahun ini agak berbeza. Mesej kami berteraskan konsep ‘amalan’, yang menjadi sumber kepada senyuman dan kesyukuran, terutamanya pada musim Raya.

“Hari Raya adalah masa untuk meraikan kejayaan dan menikmati hasil daripada amalan baik.

“Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memupuk amalan kewangan yang mampan,” katanya.

Menjadi duta HLB sejak tiga tahun, Alif Satar turut berkongsi keterujaannya.

“Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan HLB dalam projek ini.

“Sebagai seorang yang menghargai nilai kekeluargaan, saya rasa lagu ini sangat bermakna kerana ia bukan hanya lagu biasa, tetapi juga membawa mesej positif.

“Apabila pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus merasakan ‘vibe’ yang ceria, sesuai dengan suasana Raya,” katanya.

Sebagai tanda komitmen HLB terhadap amalan baik, bank ini juga telah bekerjasama dengan foodpanda dalam program pengagihan makanan kepada penghantar makanan mereka.

HLB menyumbang makanan kepada 1000 penghantar foodpanda dan menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Perak.

Selain itu, HLB juga aktif dalam kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), di mana kakitangannya menyumbang pek makanan dan menyertai aktiviti gotong-royong di rumah-rumah kebajikan di seluruh negara.

Baru-baru ini, HLB telah berjaya menyumbang lebih RM100,000 melalui pek makanan dan keperluan harian kepada rumah-rumah kebajikan berkenaan.

Lagu ‘Senyum-Senyum Raya’ telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac lalu di semua platform muzik digital, sementara video muzik rasmi pula kini boleh ditonton di saluran YouTube Hong Leong Bank.

Konsert ‘Here I Am’ Rossa: Sebuah manifestasi keutuhan Ratu Pop Indonesia

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Walaupun memiliki tubuh kecil, semangat dan kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh Dato’ Sri Rossa Roslaina kian membakar untuknya terus berjaya setelah hampir tiga dekad mengharungi liku-liku karier seni.

Konsert “Here I Am” yang bakal diadakan pada 14 Jun 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, bakal menjadi manifestasi kekuatan dan perjalanan luar biasa Rossa sepanjang 29 tahun dalam industri muzik.

Konsert ini bukan sekadar untuk merayakan perjalanan karier Rossa yang gemilang, tetapi juga adalah kesinambungan daripada kejayaan konsert-konsert sebelumnya seperti Rossa 25 Shining Years (2022) dan Another Journey: The Beginning (2023) yang menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.

“Konsert Here I Am bukan hanya persembahan, ia adalah sebuah perjalanan peribadi yang mengajak penonton untuk lebih menghargai diri mereka sendiri,” kata Rossa.

Konsert ini adalah simbol perjalanan kariernya yang merangkumi lagu-lagu hit, album, pencapaian, dan konsert-konsert yang telah dilaksanakan sepanjang dia bergelar anak seni.

Di samping menghiburkan penonton, konsert Here I Am turut memberi makna lebih mendalam dengan mengundang artis-artis ternama dari Malaysia dan Indonesia.

Penyanyi popular Ariel Noah dari Indonesia serta penyanyi berbakat Malaysia seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique dijangka turut memeriahkan konsert ini, menjanjikan pengalaman yang mendebarkan.

“Kesempatan berkolaborasi dengan Ernie dan MK adalah sesuatu yang saya nantikan.

“Muzik tiada sempadan dan saya yakin kejutan yang akan dibawakan sepanjang konsert ini akan memberi pengalaman yang luar biasa kepada semua,” katanya.

Selain itu, pada bulan Ramadan ini, Rossa turut kembali ke Kuala Lumpur untuk menyempurnakan acara Iftar Bersama Dato’ Sri Rossa yang berlangsung di Ballroom 2, Sunway Putra Hotel.

Acara berkenaan turut disertai oleh PRIHATIN, di mana mereka bersama-sama meraikan anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera di Cheras, Kuala Lumpur, dengan menyampaikan sumbangan berupa pakaian, duit raya dan barangan keperluan harian.

Mengulas perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali berkata, Rossa telah menunjukkan keprihatinannya yang tinggi dalam membantu masyarakat.

“Konsert Here I Am bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga untuk tujuan kebajikan, dengan sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi membantu pendidikan dan kebajikan,” katanya.

Tiket untuk konsert Here I Am boleh didapati bermula dari harga RM228 untuk kategori Festival, hingga RM788 bagi kategori Diamond Center.

Pembelian tiket boleh dilakukan melalui www.ticket2u.com, atau untuk tiket korporat, hubungi Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel: rossa@yayasanprihatin.com.

Selain Kuala Lumpur, konsert Here I Am juga akan berlangsung di Indonesia Arena, Jakarta pada 23 Mei 2025, dan di Singapura pada penghujung tahun 2025.