editormaxinfo@gmail.com
KLANG – Lakonan Datuk Rosyam Nor sebagai Iman dalam drama Keluarga Itu yang ditayangkan di TV3 baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat, apabila watak berkenaan dianggap miang dan menjijikkan oleh segelintir penonton.
Ada yang mendakwa akan memboikot pasar raya milik Rosyam, ST Rosyam Mart, akibat daripada kontroversi terbabit.
Rosyam yang juga Pengarah ST Rosyam Mart, menganggap seruan boikot itu hanya sekadar gurauan netizen di media sosial.
“Memang benar ada yang memberitahu saya watak Iman menyebabkan ada pihak mahu memboikot ST Rosyam Mart.
“Tapi sebenarnya mereka tidak serius. Mereka hanya bergurau. Dulu, ketika saya pertama kali ingin membuka ST Rosyam Mart pada 2018, ada juga yang mahu memboikot, namun Alhamdulillah, perkara itu sebenarnya membantu mempromosikan perniagaan saya,” katanya.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan pusat beli-belah pertama ST Rosyam Mall dan cawangan kelapan ST Rosyam Mart yang terletak di Jalan Kebun, Klang, baru-baru ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu turut disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho.
Rosyam, yang dikenali dengan pelbagai watak hebat dalam dunia lakonan, turut menyifatkan watak Iman yang dibawanya bukanlah untuk sensasi semata-mata.
Sebaliknya, ia mengandungi mesej yang mendalam bagi memberi kesedaran kepada penonton.
“Watak yang saya bawa bukanlah sensasi. Sebenarnya, keadaan yang saya gambarkan itulah yang membuatkan watak ini menjadi panas.
“Mungkin ramai yang tahu perkara ini berlaku, tetapi mereka tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bukti.
“Melalui watak Iman, saya menggambarkan perasaan jijik dan seram yang dialami oleh mangsa-mangsa yang terbabit.
“Mereka melihat orang yang mereka sayang, tetapi sebenarnya orang itu adalah seorang binatang,” katanya.
Katanya lagi, watak Iman yang ditulis oleh Erma Fatima, menggambarkan seorang individu yang lebih teruk daripada iblis dan syaitan kerana tidak peduli terhadap darah dagingnya sendiri.
Namun, beliau turut memuji keberanian ramai yang kini mula tampil dan mengaku menjadi mangsa.

Rosyam juga menghargai setiap pujian dan komen positif dari penonton yang menyifatkan lakonannya dalam drama berkenaan sangat berkesan.
“Saya baca komen-komen mengenai kredibiliti lakonan saya. Pada usia saya sekarang, lakonan sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya.
“Saya juga percaya lakonan ini adalah satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang. Watak Iman telah menjadi fenomena, dan lebih daripada 300 juta orang telah bercakap mengenainya di media sosial.
“Saya bersyukur diterima baik walaupun sudah lama tidak muncul dalam drama bersiri,” katanya.
Drama Keluarga Itu yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra Sdn Bhd, berjaya menarik perhatian ramai kerana mengetengahkan isu sensitif yang berlaku dalam keluarga.
Watak Iman yang dipaparkan sebagai seorang lelaki miang dan menjijikkan terhadap darah daging sendiri, menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk seruan boikot terhadap perniagaan yang diusahakan oleh Rosyam.
Dalam perkembangan lain, Rosyam turut meluahkan rasa bangga apabila ST Rosyam Mart telah tersenarai dalam Asean Records sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 Pertama di Asia Tenggara.
Ia turut dikenali sebagai pasar raya yang inovatif dengan menawarkan 21 perkhidmatan awam percuma, termasuk kemudahan pandu lalu mesra pelanggan.