editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLIB) melancarkan kempen bertemakan ‘Amalan’ yang menggalakkan amalan baik, termasuk pengurusan kewangan yang bijak, sebagai sumber kesyukuran dan kegembiraan.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, HLB memperkenalkan lagu Raya bertajuk ‘Senyum-Senyum Raya’, yang disertakan dengan video muzik yang menampilkan duta HLB, Alif Satar.
Lagu yang dicipta oleh Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy, dan Ja’a ini, dinyanyikan oleh Alif Satar & The Locos, penuh dengan mesej kesyukuran dan kegembiraan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, kempen ini mencerminkan komitmen HLB dalam menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang membantu pelanggan mengurus kewangan mereka secara bijak.

“Kami berhasrat untuk memperluaskan penyelesaian kewangan yang diperibadikan kepada lebih ramai pelanggan.
“Hong Leong Islamic Bank juga memainkan peranan penting dalam menawarkan produk perbankan yang patuh Syariah, direka untuk memenuhi keperluan unik pelanggan kami.
“Kami ingin membantu meringankan beban kewangan pelanggan dan mengurus kewangan mereka dengan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB Zalman Zainal berkata, lagu dan video raya ini adalah sesuatu yang baru dari HLB untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kempen tahun ini agak berbeza. Mesej kami berteraskan konsep ‘amalan’, yang menjadi sumber kepada senyuman dan kesyukuran, terutamanya pada musim Raya.
“Hari Raya adalah masa untuk meraikan kejayaan dan menikmati hasil daripada amalan baik.
“Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk memupuk amalan kewangan yang mampan,” katanya.
Menjadi duta HLB sejak tiga tahun, Alif Satar turut berkongsi keterujaannya.
“Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan HLB dalam projek ini.
“Sebagai seorang yang menghargai nilai kekeluargaan, saya rasa lagu ini sangat bermakna kerana ia bukan hanya lagu biasa, tetapi juga membawa mesej positif.
“Apabila pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus merasakan ‘vibe’ yang ceria, sesuai dengan suasana Raya,” katanya.
Sebagai tanda komitmen HLB terhadap amalan baik, bank ini juga telah bekerjasama dengan foodpanda dalam program pengagihan makanan kepada penghantar makanan mereka.

HLB menyumbang makanan kepada 1000 penghantar foodpanda dan menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 penghantar di Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Perak.
Selain itu, HLB juga aktif dalam kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), di mana kakitangannya menyumbang pek makanan dan menyertai aktiviti gotong-royong di rumah-rumah kebajikan di seluruh negara.
Baru-baru ini, HLB telah berjaya menyumbang lebih RM100,000 melalui pek makanan dan keperluan harian kepada rumah-rumah kebajikan berkenaan.
Lagu ‘Senyum-Senyum Raya’ telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac lalu di semua platform muzik digital, sementara video muzik rasmi pula kini boleh ditonton di saluran YouTube Hong Leong Bank.