30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 22, 2025

Konsert ‘Here I Am’ Rossa: Sebuah manifestasi keutuhan Ratu Pop Indonesia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Walaupun memiliki tubuh kecil, semangat dan kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh Dato’ Sri Rossa Roslaina kian membakar untuknya terus berjaya setelah hampir tiga dekad mengharungi liku-liku karier seni.

Konsert “Here I Am” yang bakal diadakan pada 14 Jun 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, bakal menjadi manifestasi kekuatan dan perjalanan luar biasa Rossa sepanjang 29 tahun dalam industri muzik.

Konsert ini bukan sekadar untuk merayakan perjalanan karier Rossa yang gemilang, tetapi juga adalah kesinambungan daripada kejayaan konsert-konsert sebelumnya seperti Rossa 25 Shining Years (2022) dan Another Journey: The Beginning (2023) yang menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.

“Konsert Here I Am bukan hanya persembahan, ia adalah sebuah perjalanan peribadi yang mengajak penonton untuk lebih menghargai diri mereka sendiri,” kata Rossa.

Konsert ini adalah simbol perjalanan kariernya yang merangkumi lagu-lagu hit, album, pencapaian, dan konsert-konsert yang telah dilaksanakan sepanjang dia bergelar anak seni.

Di samping menghiburkan penonton, konsert Here I Am turut memberi makna lebih mendalam dengan mengundang artis-artis ternama dari Malaysia dan Indonesia.

Penyanyi popular Ariel Noah dari Indonesia serta penyanyi berbakat Malaysia seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique dijangka turut memeriahkan konsert ini, menjanjikan pengalaman yang mendebarkan.

“Kesempatan berkolaborasi dengan Ernie dan MK adalah sesuatu yang saya nantikan.

“Muzik tiada sempadan dan saya yakin kejutan yang akan dibawakan sepanjang konsert ini akan memberi pengalaman yang luar biasa kepada semua,” katanya.

Selain itu, pada bulan Ramadan ini, Rossa turut kembali ke Kuala Lumpur untuk menyempurnakan acara Iftar Bersama Dato’ Sri Rossa yang berlangsung di Ballroom 2, Sunway Putra Hotel.

Acara berkenaan turut disertai oleh PRIHATIN, di mana mereka bersama-sama meraikan anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera di Cheras, Kuala Lumpur, dengan menyampaikan sumbangan berupa pakaian, duit raya dan barangan keperluan harian.

Mengulas perkara ini, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali berkata, Rossa telah menunjukkan keprihatinannya yang tinggi dalam membantu masyarakat.

“Konsert Here I Am bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga untuk tujuan kebajikan, dengan sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi membantu pendidikan dan kebajikan,” katanya.

Tiket untuk konsert Here I Am boleh didapati bermula dari harga RM228 untuk kategori Festival, hingga RM788 bagi kategori Diamond Center.

Pembelian tiket boleh dilakukan melalui www.ticket2u.com, atau untuk tiket korporat, hubungi Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel: rossa@yayasanprihatin.com.

Selain Kuala Lumpur, konsert Here I Am juga akan berlangsung di Indonesia Arena, Jakarta pada 23 Mei 2025, dan di Singapura pada penghujung tahun 2025.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular