28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 104

Syawal penuh makna: Filem pendek CARiNG bawa pesan kasih sayang dan kemaafan keluarga

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan Aidilfitri tahun ini, CARiNG Pharmacy mempersembahkan sebuah filem pendek yang menyentuh perasaan, Syawal di Hati, Kenangan Abadi.

Filem ini membawa tema kasih sayang dan kemaafan dalam konteks keibubapaan bersama, serta memberi kesan mendalam terhadap emosi anak-anak yang terperangkap dalam konflik keluarga.

Mengisahkan tentang perjalanan hidup dua beradik, angah dan along, filem ini menggambarkan bagaimana perpisahan keluarga akibat pergaduhan besar memberi impak yang mendalam kepada hubungan mereka.

Sebelum ayah mereka meninggalkan rumah, dia cuba membawa angah bersamanya, namun along yang cuba mempertahankan kenangan mereka melalui sebuah lukisan, berdepan dengan detik pilu apabila lukisan berkenaan terkoyak, melambangkan perpecahan keluarga yang sukar dipulihkan.

Along yang kini tinggal bersama ibunya di rumah nenek, merasakan kehilangan angah begitu mendalam.

Ketika sambutan Aidilfitri semakin hampir, along yang sedang berdukacita meluahkan perasaan melalui lukisan.

Ibunya yang menyedari kesedihan along, mendapat nasihat penuh bermakna daripada nenek, yang mengibaratkan hubungan kekeluargaan seperti ketupat jika ditarik terlalu kuat, ia akan putus, dan jika terlalu longgar, ia akan terlerai.

Mendengar kata-kata nenek, ibu mula mengenang kembali Aidilfitri yang penuh kenangan indah bersama keluarga, namun kini hanya tinggal kenangan pahit.

Dalam perasaan yang bercampur baur, ibu akhirnya membuat keputusan untuk menghubungi ayah angah dan along, langkah pertama ke arah pemulihan hubungan keluarga demi kebahagiaan anak-anak mereka.

Keistimewaan filem pendek ini terletak pada penampilan lukisan karya ARTJAMILA, seorang artis autistik savant berbakat dari Malaysia.

Lukisan ini, yang menjadi simbol kesedihan dan harapan dalam kisah along dan angah, menggambarkan betapa pentingnya ketabahan dalam memelihara hubungan kekeluargaan.

Untuk menggalakkan mesej ini, CARiNG Pharmacy bekerjasama dengan ARTJAMILA untuk menghasilkan sampul Raya eksklusif yang membawa simbolik mendalam: kasih sayang boleh menyatukan kembali hati yang terpisah.

Melalui filem ini, CARiNG Pharmacy mengajak kita semua untuk lebih peka terhadap perasaan anak-anak yang terperangkap dalam konflik keluarga, dan betapa pentingnya keibubapaan bersama dalam memelihara kasih sayang antara adik-beradik.

Walaupun perpisahan mungkin berlaku, dengan pemahaman, keampunan, dan keberanian, hubungan yang terpisah masih boleh dipulihkan.

Tonton filem penuh Syawal di Hati, Kenangan Abadi di saluran YouTube CARiNG Pharmacy, dan hayati semangat Aidilfitri dengan kasih sayang, kemaafan, dan kenangan yang abadi.

Drama raya Suria FM ‘Hayati’ angkat isu kesihatan mental, kolaborasi hebat bersama YAYA Empire Perfume

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Suria FM dengan bangganya mempersembahkan Drama Raya 2025 yang bertajuk “Hayati”, sebuah karya pertama yang mengetengahkan genre ‘Psikologi Emosional Raya’.

Drama berdurasi 40 minit ini memberi tumpuan terhadap kepentingan pengurusan mental dan emosi, menyentuh hati penonton dengan kisah yang penuh emosi dan perjalanan jiwa yang penuh makna.

Kolaborasi istimewa bersama YAYA Empire Perfume membawa drama ini ke layar dengan cerita yang menggali perjalanan perasaan seseorang dalam memaafkan diri sendiri dan mencari kekuatan untuk melangkah ke hadapan.

Mengisahkan sebuah kemalangan tragis pada malam raya, drama ini menyaksikan kehidupan beberapa individu yang berubah serta perjalanan penyembuhan yang penuh cabaran.

Dalam perjalanan mereka, perasaan bersalah, konflik dalaman, dan batas antara realiti serta imaginasi menjadi elemen penting dalam cerita ini.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, sejak 2019, Suria FM telah menerbitkan tujuh drama raya.

“Skrip ‘Hayati’ mula digarap sejak September 2024 dan disetujui oleh Yaya Empire pada November 2024.

“Drama ini turut dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, dan Hawra Jamalullail, bersama kemunculan khas dari Ara Johari, Adam ZBP, dan Mia Azahar.

“Drama ini juga menampilkan Puan Nadia Mat Isa, pengasas Yaya Empire Perfume,” katanya.

Drama ini sudahpun ditayangkan di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV sejak 20 Mac, jam 12 tengah hari.

Penghasilan drama raya “Hayati” tahun ini adalah projek terbesar dari segi skala dan tempoh penggambaran.

Proses penggambaran yang mengambil masa tujuh hari di sekitar Lembah Klang ini turut berdepan cabaran, khususnya dengan babak-babak membabitkan bas yang memerlukan masa selama tiga hari untuk diselesaikan.

Keadaan cuaca yang tidak menentu turut memberi cabaran kepada pasukan produksi yang terdiri daripada lebih 100 individu, baik pelakon mahupun kru.

Sementara itu, pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa berkata, sebagai penggemar seni dan budaya, beliau tertarik untuk bekerjasama dengan Suria FM kerana komitmen mereka dalam menyampaikan hiburan yang sarat dengan nilai murni.

“Tema ‘Sebuah Perjalanan Jiwa’ dalam drama ini memberi peluang untuk saya menyumbang kepada pengalaman hiburan yang bermakna pada musim perayaan.

“Saya berharap ‘Hayati’ memberi impak mendalam kepada penonton dengan mesej kekeluargaan, emosi, kehilangan, dan kasih sayang yang menjadi inti pati sambutan Hari Raya,” katanya.
Drama ‘Hayati’ kali ini tampil dengan elemen penceritaan yang lebih mendalam dan sinematografi yang teliti bagi menjaga kualiti penceritaan.

Drama ini bertujuan untuk menyedarkan penonton tentang kepentingan kesihatan mental, serta memberi kesan emosi yang kuat sepanjang penceritaan.

Sebagai pelengkap kepada kisah ini, lagu ‘Pentas Sandiwara’ yang dibawakan oleh artis Fugo dipilih sebagai lagu rasmi drama.

Lagu ini menggambarkan sebuah kehidupan penuh cabaran, turut menarik perhatian pendengar, khususnya golongan muda.

Muzik video khas lagu ini juga telah diterbitkan dan berlatarbelakangkan babak dalam drama ‘Hayati’.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Drama Raya ‘Hayati’ di platform digital Suria FM dan rasai sendiri perjalanan jiwa yang mengangkat kesedaran tentang kesihatan mental di musim perayaan ini.

Tawar ganjaran RM1.5 juta, Rosyam Nor cipta sejarah dengan pembukaan ST Rosyam Mall

editormaxinfo@gmail.com

KLANG – Pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor, mencipta sejarah tersendiri dengan membuka ST Rosyam Mall, sebuah kompleks beli-belah pertama yang terletak di Jalan Kebun, Klang, Selangor.

Dengan keluasan 114,000 kaki persegi, pusat beli-belah ini menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih luas dan selesa kepada pelanggan.

Bagi menyemarakkan lagi pembukaannya, Rosyam Nor turut melancarkan kempen RM1.5 Juta Ganjaran Untuk Anda, yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk 100 pakej Umrah percuma untuk pelanggan bertuah di ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart.

ST Rosyam Mall menampilkan lebih 30 premis dari pelbagai kategori, termasuk fesyen, makanan, dan teknologi.

Sebagai tambahan, beberapa premis turut beroperasi 24 jam seperti Khulafa dan Nasi Lemak Burung Hantu.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan gelanggang Pickleball yang dibuka sepanjang masa serta tempat parkir yang luas dan surau yang selesa.

Rosyam yang juga Pengarah ST Rosyam Mart, berkata, ST Rosyam Mall bukan sekadar pusat beli-belah biasa, tetapi ia adalah satu simbol kepercayaan dan dedikasi dalam menyediakan pengalaman membeli-belah terbaik untuk rakyat Malaysia.

“ST Rosyam Mall bukan hanya sebuah pusat beli-belah biasa. Ia diwujudkan dengan konsep yang memenuhi keperluan seisi keluarga, daripada makanan, fesyen, hiburan, teknologi dan banyak lagi, semuanya di bawah satu bumbung,” katanya.

Di lokasi yang sama, Rosyam turut melancarkan cawangan kelapan ST Rosyam Mart dengan tawaran istimewa.

Kempen RM1.5 Juta Ganjaran Untuk Anda turut dapat dinikmati di ST Rosyam Mart. Pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti kereta Proton X70, Goldbar, barangan elektronik, baucar, dan yang paling menarik, pakej 100 Umrah percuma.

Sebagai simbolik kepada pembukaan cawangan baharu, ST Rosyam Mart menawarkan promosi Ayam Seekor serendah RM0.88 sen.

Selain itu, lebih 100 barangan promosi berharga serendah RM0.08 sen hingga RM0.88 sen boleh didapati oleh ahli ST Kad.

Promosi hebat ini akan berlangsung selama 14 hari bermula dari 19 Mac hingga 1 April.


ST Rosyam Mart terus membuktikan dirinya sebagai pasaraya yang berinovasi dengan menyediakan 22 servis percuma, termasuk Pandu Lalu Pengambilan Barang Pesanan, yang pertama seumpamanya di negara ini.

Pelanggan juga boleh mendapatkan barangan basah seperti ikan segar dari jeti dan daging tempatan berkualiti tinggi dalam suasana membeli-belah yang selesa.

“ST Rosyam Mart adalah manifestasi kepada prinsip perniagaan kami yang sentiasa menawarkan barangan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.

Dengan operasi 24 jam, kemudahan membeli secara borong, serta keutamaan kepada barangan segar, kami mahu memastikan pelanggan sentiasa berjimat setiap kali berkunjung,” kata Rosyam lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann, berkata kerjasama antara Sri Ternak, ST Rosyam Mall, dan ST Rosyam Mart mencerminkan komitmen mereka dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia.

“Kami yakin ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart akan menjadi destinasi utama pengguna yang mengutamakan keselesaan, kepelbagaian produk, dan nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya.

Beliau turut menyentuh inisiatif seperti Pandu Lalu Pengambilan Barang Pesanan yang memberikan fleksibiliti dan kemudahan kepada pelanggan.

Dengan pelbagai kemudahan dan tawaran menarik yang disediakan, ST Rosyam Mall dan ST Rosyam Mart dijangka akan menjadi destinasi membeli-belah pilihan utama di Klang dan Malaysia.

Kuala Terengganu dinobat destinasi cuti paling murah di Malaysia untuk April-Mei

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Terengganu dinobatkan sebagai destinasi pelancongan paling berpatutan di Malaysia untuk tempoh cuti yang akan datang, dengan purata kadar bilik serendah RM213 semalam.

Menurut platform pelancongan digital Agoda, buat pertama kalinya, bandar pantai ini berjaya menewaskan Kuching, yang sebelum ini memegang gelaran itu bagi tempoh cuti April-Mei 2024 dan musim percutian hujung tahun.

Kejayaan ini menjadikan Kuala Terengganu pilihan utama bagi pelancong yang mencari destinasi yang mesra bajet.

Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, berkata bulan April dan Mei adalah musim puncak untuk pelancongan di Asia, dengan cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, Minggu Emas di Jepun, dan Songkran di Thailand yang meningkatkan permintaan penginapan.

“Walaupun musim percutian yang sibuk ini, pelancong tidak perlu risau kerana Agoda menawarkan pelbagai pilihan penginapan, penerbangan, dan aktiviti dengan nilai yang hebat.

“Destinasi yang tersenarai menunjukkan bahawa percutian mesra bajet masih boleh dinikmati, walaupun pada waktu puncak,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Phong Nha di Vietnam mencatatkan purata harga bilik serendah RM124 semalam, menjadikannya pilihan utama bagi pencinta alam semula jadi dan pengembara.

Selain Phong Nha, destinasi seperti Tirupati di India (RM150 semalam) dan Hat Yai di Thailand (RM177 semalam) turut tersenarai dalam tiga kedudukan teratas.

Destinasi-destinasi ini menawarkan pengalaman unik yang menggabungkan budaya, kulinari, dan pemandangan memukau, menjadikannya pilihan ideal untuk percutian yang tidak dapat dilupakan.

Selain Kuala Terengganu, destinasi lain di Asia yang turut tersenarai adalah Padang (Indonesia), Bacolod (Filipina), Gimpo (Korea Selatan), Narita (Jepun), dan Pingtung (Taiwan).

Perbaiki video muzik ‘Serumpun’, Mimi Fly terima teguran olah versi baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas menerima teguran daripada ramai pihak, penyanyi Mimi Fly bertindak menurunkan video muzik lagu raya Serumpun di saluran YouTube miliknya dan menghasilkan versi olahan semula.

Mimi Fly, 38, mengakui menerima pelbagai maklum balas sejak video muzik itu dilancarkan, termasuk teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah.

Katanya, walaupun banyak komen positif diterima, ada juga yang khuatir dengan pendekatan seni yang ditampilkan dalam video muzik itu dan bimbang ia mungkin disalah tafsir atau menyimpang daripada niat asalnya.

“Sejak video muzik saya dilancarkan, saya menerima banyak maklum balas daripada peminat dan pendengar muzik.

“Ada yang memberi komen positif, tetapi ada juga yang bimbang pendekatan seni saya mungkin ditafsirkan secara berlainan atau menyimpang daripada niat saya yang sebenar,” jelasnya dalam perkongsian video di Instagram.

Mimi turut mengakui telah menerima teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan serta nasihat lain dan mengambil maklum segala teguran yang diterima.

Oleh itu, dia memutuskan untuk menurunkan video asal dan mengolah semula karyanya itu.

“Saya sudah mendapat teguran dan nasihat daripada pelbagai pihak, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan.

“Saya akui kekhilafan saya dan telah memuat naik versi baharu video muzik Serumpun di saluran YouTube saya,” katanya.

Mimi berkata, sebagai seorang manusia biasa, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, dia menghargai setiap teguran yang diberikan demi kebaikan.

“Sebagai anak Melayu, saya tidak pernah berniat untuk menghina agama dan budaya kita. Sebagai seorang anak seni, saya mahu karya saya diterima, berkualiti, dan memberi makna mendalam.

“Saya juga manusia biasa dan tidak terlepas dari kesilapan. Terima kasih atas teguran dan kritikan yang membina,” katanya lagi.

Mimi turut berkongsi mengenai lagu Serumpun adalah hasil ciptaannya sendiri dan terinspirasi dari kepelbagaian budaya di alam Nusantara sejak zaman berzaman.

“Secara ikhlas, saya memohon jutaan kemaafan. Teruskan mendengar Serumpun dan hayati makna Aidilfitri melalui lagu ini,” katanya.

Terdahulu, video muzik Serumpun mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak, yang menyifatkan pemilihan busana yang terdedah dan gaya ala kemban dalam video itu tidak sesuai dengan tema lagu raya.

Isu itu turut mendapat perhatian daripada parti politik Wanita Amanah Wilayah Persekutuan, yang mendakwa video berkenaan bertentangan dengan ajaran Islam dan maksud sebenar Aidilfitri.

AC Mizal jawab dakwaan Suke TV bakal gulung tikar, stesen masih beroperasi seperti biasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengacara terkenal Datuk AC Mizal menafikan dakwaan bahawa stesen televisyen miliknya, Suke TV, bakal gulung tikar dan akan menamatkan operasinya.

Pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu berkata, stesen berkenaan masih berjalan seperti biasa dan terus beroperasi dengan rancangan-rancangan menarik untuk penonton.

“Suke TV masih berjalan seperti biasa, belum bankrap, dan kami akan terus beroperasi. Ada banyak berita gembira yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, kami sudah tiga tahun bertahan, dan banyak perancangan menarik yang akan dilaksanakan selepas ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengenai dakwaan pihaknya gagal membayar gaji pekerja, AC Mizal memilih untuk menyelesaikan perkara itu melalui saluran undang-undang.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan kini sedang dalam proses di mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam untuk menyelesaikannya.

“Mengenai dakwaan itu, ia kini dalam proses mahkamah. Kami saling menyaman dan saya serahkan kepada pihak peguam untuk menguruskan.

“Semua urusan ini akan diteruskan selepas raya. Saya lebih suka menyelesaikan perkara ini di mahkamah daripada perjumpaan luar,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pelakon siri popular Gerak Khas ini tidak menafikan bahawa setiap perniagaan pasti melalui pasang surut.

Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan stesen televisyen miliknya itu.

“Asam garam perniagaan ada, turun naik memang tak dapat dielakkan. Tapi kami uruskan dengan sebaik-baiknya.

“Kadang kala perniagaan memerlukan perancangan yang betul. Saya tak mahu menghebahkan perancangan yang belum pasti, takut akhirnya tergendala,” katanya.

Menurut AC Mizal, dalam menghadapi persaingan dengan stesen televisyen lain, mereka perlu memilih masa yang sesuai untuk melangkah.

Pelaburan besar diperlukan untuk menghasilkan kandungan berkualiti, dan ia menjadi cabaran bagi stesen kecil seperti Suke TV untuk mendapatkan ruang di pasaran yang semakin kompetitif.

Tahun lalu, seorang personaliti TV mendedahkan gajinya masih belum dibayar ketika bekerja di sebuah stesen televisyen, selain tertunggaknya caruman KWSP dan Perkeso.

Lebih malang lagi, kontraknya ditamatkan lebih awal pada Ogos 2024 tanpa menerima gaji terakhirnya.

Berikutan dakwaan itu, AC Mizal tampil dengan kenyataan menegaskan segala tuduhan buruk terhadap Suke TV adalah fitnah dan beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Saya akan pastikan nama baik stesen dan diri saya dibersihkan melalui saluran yang betul,” katanya lagi.

Le Méridien Kuala Lumpur teruskan usaha lestari alam sekitar melalui program Earth Hour, Sabtu ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Le Méridien Kuala Lumpur meneruskan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dengan menganjurkan Program Earth Hour pada Sabtu ini.

Kejayaan hotel ini mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 820,505 kilowatt per jam (kWh) semasa penyertaan tahun lalu, yang turut membawa kepada perolehan pensijilan I-REC (Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa), menjadi pemangkin utama untuk melaksanakan inisiatif berkenaan lagi tahun ini.

Earth Hour, yang membabitkan penyertaan global, bertujuan untuk memelihara kelestarian alam semesta.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Le Méridien Kuala Lumpur, Christina Vanugopal, berkata, program ini akan dilaksanakan dari jam 8.30 malam, di mana hotel akan menutup lampu-lampu yang tidak penting di kawasan awam utama, termasuk lobi dan kolam renang, sebagai simbol sokongan kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja terhad pada program Earth Hour, malah ia sebahagian daripada usaha berterusan dalam operasi harian hotel untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

“Kami komited untuk terus menjalankan operasi secara lebih hijau dengan menggunakan konsep cekap tenaga serta sensor cahaya di bilik-bilik,” katanya.

Selain itu, Le Méridien Kuala Lumpur juga melaksanakan pelbagai inisiatif lestari termasuk penggunaan semula tuala dan linen, serta menggantikan botol plastik mandian dengan botol kaca yang boleh diisi semula.

Inisiatif pengurangan sisa makanan dan aktiviti kitar semula juga terus diberi tumpuan.

Bagi mempromosikan mobiliti hijau, hotel ini turut menyediakan tempat khusus untuk kereta elektrik (EV).

Lebih menarik lagi, melalui kerjasama dengan Next Gen Marriott Business Council Malaysia, Le Méridien baru-baru ini telah berganding bahu dengan Friends of Sungai Klang untuk membersih, mengecat, dan menanam pokok di sepanjang sungai terbabit.

“Semua usaha ini mencerminkan komitmen serius kami dalam menjaga kelestarian alam, yang turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk penerimaan Anugerah Kelestarian Antarabangsa daripada Luxury Lifestyle Awards,” katanya lagi.

Dengan penyertaan global dalam Program Earth Hour, Le Méridien Kuala Lumpur berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak individu dan organisasi untuk turut sama menjaga bumi kita demi masa depan yang lebih hijau.

Rayuan Syed Saddiq: Tiada keputusan hari ini, proses dilanjutkan esok – Hakim

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan memaklumkan tiada keputusan akan dibuat hari ini berhubung rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, mengumumkan perkara terbabit pada prosiding yang bermula pada jam 12.15 tengah hari.

“Hari ini, kita akan mendengar rayuan daripada perayu, Syed Saddiq terlebih dahulu, dan akan berhenti untuk rehat tengah hari.

“Esok, kita akan menyambung hujahan daripada pihak pendakwaan,” kata Hakim Ahmad Zaidi.

Prosiding dimulakan dengan hujahan daripada peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Syed Saddiq, 33.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hujahan bagi kedua-dua pihak akan dijalankan selama dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Mac.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

Mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan keterangannya sebagai “tidak masuk akal.”

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Syed Saddiq kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya, dan menuntut dibebaskan daripada empat kesalahan terbabit serta agar hukuman yang dijatuhkan diketepikan.

Menurut Syed Saddiq, hakim dalam perbicaraan sebelum ini terkhilaf dari segi undang-undang ketika mensabitkan beliau atas empat kes berkenaan.

Beliau mendakwa hakim gagal memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan, menyebabkan beliau terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.

Jika rayuan ini gagal, Syed Saddiq masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan. Namun, jika panel hakim menerima rayuan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, beliau akan dibebaskan serta-merta.

Untuk pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, untuk melakukan pecah amanah membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA, dan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga menghadapi dua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, dengan memindahkan wang RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada Jun 2018.

Jika sabitan ini dikekalkan, Syed Saddiq boleh dihukum dengan hukuman penjara dan denda yang berat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Bella Astillah hadir beri sokongan kepada Syed Saddiq di Mahkamah Rayuan

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, hadir memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang kini sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Bella, yang mengenakan baju kurung, tiba di pekarangan Istana Kehakiman sekitar jam 8.50 pagi, hanya lima minit selepas ketibaan Ahli Parlimen Muar itu.

Kira-kira 30 penyokong Syed Saddiq turut berkumpul di kawasan berkenaan bagi mengikuti prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman membabitkan empat tuduhan berkaitan dana ARMADA.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengumumkan, beliau akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk segera menyelesaikan rayuan terbabit.

Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, meluahkan rasa terima kasih kepada Bella yang beliau anggap sebagai wanita luar biasa.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, “Dia wanita luar biasa. Terima kasih dan saya terhutang budi.”

Sokongan Bella pastinya memberikan kekuatan moral kepada Syed Saddiq dalam menghadapi proses perundangan yang sedang dijalani.