27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Bella Astillah hadir beri sokongan kepada Syed Saddiq di Mahkamah Rayuan

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, hadir memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang kini sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Bella, yang mengenakan baju kurung, tiba di pekarangan Istana Kehakiman sekitar jam 8.50 pagi, hanya lima minit selepas ketibaan Ahli Parlimen Muar itu.

Kira-kira 30 penyokong Syed Saddiq turut berkumpul di kawasan berkenaan bagi mengikuti prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman membabitkan empat tuduhan berkaitan dana ARMADA.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengumumkan, beliau akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, untuk segera menyelesaikan rayuan terbabit.

Pada 9 November tahun lalu, Syed Saddiq memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

Dalam pada itu, Syed Saddiq, yang ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, meluahkan rasa terima kasih kepada Bella yang beliau anggap sebagai wanita luar biasa.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, “Dia wanita luar biasa. Terima kasih dan saya terhutang budi.”

Sokongan Bella pastinya memberikan kekuatan moral kepada Syed Saddiq dalam menghadapi proses perundangan yang sedang dijalani.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular