editormaxinfo@gmail.com
WASHINGTON – Jabatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mengumumkan perubahan nama Teluk Mexico kepada “Teluk Amerika” sebagai sebahagian daripada perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump.
Keputusan ini dibuat pada Isnin lalu sebagai penghormatan terhadap “kehebatan Amerika,” menurut laporan agensi berita Jerman, dpa.
Nama Teluk Mexico telah digunakan sejak abad ke-16, namun Presiden Trump berpendapat bahawa perairan di pantai selatan Amerika Syarikat dan pantai timur Mexico wajar diberikan identiti baru.
Langkah ini bertujuan untuk menegaskan pencapaian dan kebesaran negara.
Namun, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dengan tegas menyatakan bahawa bagi mereka, kawasan terbabit akan terus dikenali sebagai Teluk Mexico.
“Bagi kami, ia akan terus menjadi Teluk Mexico, dan bagi seluruh dunia, ia akan terus menjadi Teluk Mexico,” katanya pada Selasa lalu.
Selain itu, Jabatan Dalam Negeri AS turut mengumumkan penamaan semula Gunung Denali, gunung tertinggi di Amerika Utara, kepada nama asalnya, Gunung McKinley.
Gunung terbabit secara rasmi dinamakan semula selepas permintaan daripada kerajaan negeri Alaska pada tahun 2015, susulan pertikaian panjang mengenai namanya.
Penukaran nama itu dilihat sebagai usaha untuk menghormati sensitiviti budaya penduduk asli Alaska yang menganggap gunung berkenaan mempunyai makna yang mendalam bagi mereka.
Pada 2015, di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, gunung tersebut dinamakan semula sebagai Denali, berikutan kenyataan bahawa William McKinley, bekas Presiden AS dari Ohio, tidak pernah melawat atau mempunyai kaitan sejarah dengan gunung atau Alaska.
Jabatan Dalam Negeri AS menjelaskan bahawa pemulihan nama-nama ini adalah untuk “menghormati warisan kehebatan Amerika.”
Menurut jabatan itu, perubahan ini menunjukkan komitmen negara untuk memelihara warisan negara dan memastikan generasi masa depan dapat meraikan warisan wira dan aset bersejarah Amerika Syarikat.
Lembaga Penamaan Geografi AS juga dilaporkan sedang bekerjasama untuk mengemas kini tatanama rasmi dalam Sistem Maklumat Nama Geografi, dengan perubahan ini berkuat kuasa serta-merta untuk kegunaan persekutuan. -Agensi

