34 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Keluarga terima ancaman punca persembahan Harith Iskander terpaksa dibatalkan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR -Persembahan komedi berdiri ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter’ yang dijadualkan berlangsung malam ini terpaksa dibatalkan susulan ancaman yang diterima oleh keluarga pelawak terkenal, Harith Iskander.

Perkara itu didedahkan oleh bekas isteri Harith, Dr. Jezamine Lim, yang mengesahkan keluarganya menerima ancaman kejam, terutama terhadap anak-anak mereka.

Jezamine, yang juga pengurus Harith, berkata acara yang sepatutnya menampilkan persembahan pembukaan khas oleh dua anak mereka, Zander dan Zydane, terpaksa dibatalkan demi keselamatan keluarga.

“Saya terpaksa membuat keputusan ini selepas ancaman bunuh yang diterima minggu lalu. Keselamatan anak-anak saya sangat terancam,” kata Jezamine dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jezamine berkata, ancaman berkenaan adalah tindakan yang melampaui batas dan tidak berperikemanusiaan.

“Ancaman terhadap anak-anak yang tidak bersalah adalah perbuatan keji, penakut, dan tidak berperi kemanusiaan,” katanya.

Beliau juga mengesahkan laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa dan siasatan sedang dijalankan.

Jezamine berkata, gangguan dalam talian yang berterusan daripada individu tertentu, yang menambah kepada keputusan mereka untuk mengutamakan keselamatan keluarga daripada meneruskan persembahan berkenaan.

“Saya sangat kecewa dengan mentaliti segelintir orang yang sanggup mendorong orang lain ke tahap ekstrem,” katanya.

Beliau mengingatkan meskipun orang ramai berhak untuk tidak bersetuju atau berasa tersinggung dengan sesuatu, tidak ada alasan untuk mengancam keselamatan keluarga seseorang, apatah lagi membabitkan anak-anak yang tidak bersalah.

Sebelum ini, Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) mengumumkan pembatalan program terbabit dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul.

Pembatalan ini berlaku selepas satu kontroversi berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi penghinaan terhadap Islam.

Hantaran itu disebarkan oleh pemilik akaun Cecelia Yap Song KL bersama Harith, mencetuskan laporan polis.

Pihak polis juga telah merekodkan kenyataan Harith berkenaan isu terbabit dan membuka siasatan lanjut mengenai ancaman yang diterima.

Jezamine berkata, pembatalan acara itu dibuat secara bersama antara pihak Dewan Filharmonik PETRONAS dan keluarga Harith.

Katanya, Harith sangat kecewa dengan keputusan itu, lebih-lebih lagi setelah persiapan selama beberapa bulan untuk acara berkenaan.

Mengambil kira pemahamannya terhadap nilai-nilai Islam, Jezamine mengingatkan tentang kepentingan belas kasihan dan rahmah.

“Allah menyuruh umat Islam untuk berbuat baik kepada semua orang, tidak kira tindakan atau status mereka,” katanya.

Program ‘Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter’ ini sebenarnya adalah satu penghargaan kepada perjalanan karier Harith yang telah menghiburkan rakyat Malaysia selama lebih tiga dekad.

Namun, keselamatan keluarga harus diutamakan, walaupun perasaan kecewa jelas tergambar di kalangan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular