editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus memanfaatkan teknologi terkini, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), dalam usaha membendung jenayah rentas sempadan dan meningkatkan keselamatan perairan negara.
Ketegasan ini disuarakan oleh Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, berikutan hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang menekankan kepentingan teknologi dalam memerangi aktiviti jenayah.
Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia kini sedang melaksanakan reformasi untuk mengintegrasikan teknologi moden, terutamanya AI, dalam sistem pengawasan dan penguatkuasaan mereka.
Teknologi ini mampu mengesan pola pergerakan mencurigakan, membantu pasukan penguatkuasa bertindak lebih pantas dalam menghadapi ancaman seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, dan jenayah maritim lain.
“Sistem pintar berasaskan AI mampu mengenal pasti ancaman dengan lebih cepat, sekali gus meningkatkan kecekapan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa, dalam era digital ini, penjenayah kini turut menggunakan teknologi canggih untuk melaksanakan kegiatan haram mereka.
Justeru Maritim Malaysia perlu sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini.
Mohd Rosli berkata demikian selepas menghadiri Ucaptama Menteri Dalam Negeri bertajuk “Strengthening National and Regional Security: Navigating Peace and Resilience in a Complex World”, sempena Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau turut berkongsi pencapaian Maritim Malaysia sepanjang tahun 2024, yang membabitkan hampir 52,000 penggeledahan ke atas vesel yang disyaki.
Sebanyak 1,317 tangkapan telah dilakukan, dengan nilai hasil rampasan mencecah hampir RM79 juta, melibatkan aset dan barangan seperti petrol, diesel, dadah, rokok, dan Vesel Nelayan Asing (VNA).
“Apabila penggunaan teknologi terkini dipertingkatkan dalam sistem pengawasan sedia ada, saya yakin jumlah tangkapan akan terus meningkat, dan perairan negara akan lebih terkawal,” kata Mohd Rosli.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai seruan Menteri Dalam Negeri untuk melaksanakan “strategi berorientasikan komuniti”, bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap keselamatan.
Maritim Malaysia berkomitmen untuk lebih mendekati komuniti maritim, seperti nelayan dan masyarakat pesisir pantai, dalam usaha memperkukuhkan kerjasama menjaga keselamatan perairan negara.
“Kami di Maritim Malaysia sentiasa berhubung langsung atau tidak langsung dengan komuniti maritim di seluruh negara melalui program-program yang dijalankan di Ibu Pejabat, Maritim Negeri dan Zon Maritim,” katanya.
Mohd Rosli berkata, 48 Program Sahabat Maritim telah dilaksanakan pada tahun 2024 untuk merapatkan hubungan ini.
Maritim Malaysia juga terus berusaha menyokong aspirasi Malaysia MADANI, untuk mencipta negara yang berdaya tahan, selamat, dan berdaya saing di peringkat global.
Selaras dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040, agensi ini bertekad untuk menjadi Coast Guard terbaik di dunia dan menjadi simbol kebanggaan rakyat.
“Dengan pelbagai langkah strategik yang telah dirangka, Maritim Malaysia akan terus berusaha tanpa henti, memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan dalam menghadapi cabaran keselamatan perairan yang semakin kompleks,” katanya.
Maritim Malaysia terus optimis dalam misi mereka untuk menjaga keselamatan negara, memanfaatkan teknologi canggih dan kerjasama komuniti demi memastikan perairan negara kekal selamat dan bebas dari ancaman jenayah.

