25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Anugerah Carta 114, tujuh lagu layak ke pentas akhir

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tujuh lagu terbaik yang berjaya melayakkan diri ke Pentas Akhir Anugerah Carta 114, yang bakal berlangsung pada 1 Februari 2025.

Anugerah ini memasuki tahun ketiga penganjurannya, bertujuan untuk mengiktiraf karya nasyid sebagai medium seni yang mendidik jiwa dan memperkayakan budaya, sekaligus mengangkat martabat muzik Islam tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, penganjuran Anugerah Carta 114 bukan sekadar acara penghargaan, tetapi sebuah usaha kolektif untuk menyuburkan kesedaran masyarakat tentang nilai seni yang berpaksikan adab, ilmu, dan iman.

“Lagu bergenre ketuhanan bukan hanya hiburan, tetapi juga wasilah dakwah yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah,” katanya.

Sepanjang 43 minggu siaran pada tahun 2024, TV AlHijrah menerapkan sistem pemarkahan yang telus, di mana empat kategori dinilai sepenuhnya oleh panel juri profesional, dua kategori berdasarkan gabungan 70 peratus undian peminat dan 30 peratus penilaian juri, manakala satu kategori sepenuhnya ditentukan oleh undian peminat.

Lagu-lagu yang berjaya mara ke final termasuklah:

-Susunan Muzik Terbaik: Hanya Dia (Halim Ahmad & Aiman Sidek) mencatatkan markah tertinggi 75%, mengatasi Sirih Pulang ke Gagang dan Gapura.

-Muzik Video Terbaik: Sirih Pulang ke Gagang meraih kemenangan dengan 75%, mendahului Cinta Takkan Tewas (69.3%) dan Bebaskan (67.3%).

-Lirik Terbaik: Cinta Luar Biasa nyanyian Rabithah karya Akmal Mustafa meraih 79.3%, mengungguli Cinta Takkan Tewas dan Gapura.

-Solo Terbaik: Idris Shamsuddin melalui Cinta Pada-Mu memukau juri dengan markah 85%, mengatasi Haadi (Kau Bak Permata, 84%) dan Ezyree Fayyad (Husnul Khotimah, 80%).

-Artis Berkumpulan Terbaik: Salam Madinah nyanyian Madinah dinobatkan sebagai pemenang dengan 85%, menewaskan Gapura (82%) dan Khaulah Al-Azwar (79%).

-Kategori Terunggul Carta: Kau Bak Permata (Haadi) paling unggul hasil penilaian pihak produksi dan juri profesional.

-Pilihan Peminat: Abu Ubaidah nyanyian Darwish mendominasi undian peminat dengan 2,221 undi, jauh meninggalkan Khaulah Al-Azwar (637 undi) dan Kau Bak Permata (462 undi).

TV AlHijrah yakin finalis Anugerah Carta 114 tahun ini tidak hanya menunjukkan bakat besar dalam industri, tetapi juga menyampaikan mesej dakwah yang kuat dan menyentuh hati.

Anugerah Carta 114 2025 akan disiarkan secara langsung di TV AlHijrah pada 1 Februari 2025, Sabtu, jam 9 malam.

Majlis kemuncak ini akan menyajikan persembahan eksklusif daripada finalis dan artis jemputan, menjadikannya bukan sahaja perayaan seni, tetapi juga satu santapan rohani untuk penonton menghayati keindahan Islam melalui seni yang penuh makna.

Dengan acara ini, TV AlHijrah terus memperlihatkan komitmennya untuk memartabatkan seni Islam dan menginspirasi masyarakat melalui karya-karya yang mendalam dan mendidik.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular