25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026

Vivy Yusof & suami dapat kebenaran untuk ambil pasport bagi tunai umrah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa sementara bagi menunaikan umrah pada awal tahun ini.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan pasport terbabit boleh diserahkan kepada pasangan suami isteri itu mulai hari ini, 31 Disember, dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari 2025.

Keputusan itu dibuat selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Peguam yang mewakili pasangan berkenaan, Ashok Athimulan, memaklumkan mahkamah bahawa pasangan itu merancang untuk berangkat ke Arab Saudi pada 5 Januari dan dijangka pulang ke Malaysia pada 14 Januari, sekaligus memastikan pasport dikembalikan pada 15 Januari.

Permohonan pasport itu diluluskan bagi memudahkan mereka menguruskan urusan visa dan dokumen berkaitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, tidak membantah permohonan tersebut namun sempat bertanya sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dilakukan sebelum atau selepas pertuduhan dibuat.

Fadzaruddin dengan ringkas menjawab bahawa perjalanan ke Tanah Suci telah dirancang selepas pertuduhan dikenakan.

Pada 5 Disember lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta pada tahun 2018.

Mereka dituduh menggunakan dana tersebut tanpa kelulusan yang sah daripada lembaga pengarah syarikat mereka, Fashion Valet Sdn Bhd (FV), untuk membuat pembayaran kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd.

Kesalahan ini dijangka dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka telah dibenarkan diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan.

Sebutan semula kes ini dijadualkan pada 22 Januari 2025.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular