29.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 12, 2025

Dato’ Dr. Kalaivanar seru pemandu lori hadir ke Parlimen 19 November ini serah memorandum isu penggantungan lesen

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) menyeru semua pemandu dan pengusaha lori di seluruh negara untuk hadir beramai-ramai ke perkarangan Parlimen Malaysia pada 19 November ini, jam 2 petang, bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu penggantungan lesen memandu yang didakwa membebankan golongan terbabit.

Wakilnya, Dato’ Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, himpunan itu bukan bertujuan menentang kerajaan atau Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebaliknya sebagai satu usaha untuk menyuarakan keresahan pemandu lori terhadap pelaksanaan undang-undang baharu yang dianggap terlalu menekan.

Kita bukan menentang kerajaan, bukan juga menentang Anthony Loke. Kalau kerajaan buat perkara yang baik, kita tetap sokong,” katanya.

Beliau mendakwa, tindakan kementerian yang kerap memperkenalkan peraturan baharu setiap hari telah menyebabkan ramai pengusaha dan pemandu lori terjejas, khususnya apabila lesen mereka digantung atas kesalahan tertentu ketika menjalankan tugas.

Menurut beliau, penggantungan lesen yang membabitkan semua kategori termasuk B2 dan B memberi kesan besar kepada pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.

“Kalau lesen lori digantung, mereka masih boleh cari makan dengan motor atau kenderaan lain. Tapi bila semua lesen digantung, bagaimana mereka nak teruskan hidup?” katanya.

Dr Kalaivanar turut menggesa semua pihak yang terbabit agar tidak hanya mengeluh atau berbincang di kedai kopi, sebaliknya turun secara aman ke Parlimen sebagai tanda solidariti.

“Kalau kita duduk saja di rumah, masalah tidak akan selesai. Hanya dengan turun beramai-ramai, kerajaan akan nampak dan dengar suara kita,” katanya lagi.

Memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri itu dijangka mengandungi cadangan serta rayuan agar kerajaan meneliti semula dasar penggantungan lesen, selain mewujudkan mekanisme yang lebih adil dan tidak membebankan pemandu lori di seluruh negara.

Dr Kalaivanar berharap langkah berkenaan dapat membuka ruang dialog antara kerajaan dan pengusaha lori bagi mencari penyelesaian terbaik demi masa depan industri pengangkutan negara.

“Kami mahu satu wadah baharu yang lebih adil untuk semua pemandu lori yang kini merana. Demi masa depan mereka dan keluarga mereka,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular