editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju industri perladangan negara dengan merasmikan Seminar Jawatankuasa Peneroka Peringkat Kebangsaan (JPPK) FELDA 2025 serta melancarkan sistem E-Nota Hantaran bertemakan Sawitku Mendunia.
Kedua-dua inisiatif ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, sempena penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025.
Dengan tema “FELDA Mendunia, Warisan Dicipta, Era Baharu Dibina”, acara berkenaan mencerminkan aspirasi FELDA untuk terus maju ke hadapan menerusi pendekatan lestari, penggunaan teknologi digital dan pengurusan hasil sawit yang menepati piawaian global.
Pelancaran sistem E-Nota Hantaran khususnya menandakan satu anjakan baharu dalam pendigitalan urus niaga penghantaran hasil, sekali gus menggantikan penggunaan rekod fizikal yang telah diguna pakai selama ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, disaksikan oleh barisan kepimpinan utama FELDA termasuk Pengarah Besar, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman; dan Ahli Lembaga FELDA merangkap Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Turut hadir ialah wakil-wakil dari pelbagai agensi berkaitan industri perladangan.
Dalam majlis berkenaan, FELDA turut menyampaikan beberapa anugerah pengiktirafan kepada individu dan entiti yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan ladang serta penglibatan aktif dalam pembangunan sektor perladangan.

Antaranya termasuk Anugerah Pekerja Produktif, Anugerah Wilayah Produktif kepada FELDA Wilayah Trolak, Anugerah Ladang Getah Lestari kepada FELDA Teloi Kanan, Wilayah Alor Setar, dan Anugerah Ladang Sawit Lestari JPPK yang dimenangi oleh FELDA Tenggaroh 07, Wilayah Johor Bahru.
Selain itu, Kilang Sawit Chiku, Wilayah Gua Musang turut menerima Anugerah Pengurusan Kilang Lestari, manakala pasukan Fajar Task Force diberikan Penghargaan Khas atas kejayaan pelaksanaan pelan strategik FELDA.
Dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata, kejayaan sebenar FELDA harus bergerak seiring dengan pembangunan warganya, khususnya golongan peneroka yang juga tulang belakang organisasi itu.
“Apa yang terbaik untuk FELDA adalah yang terbaik untuk warganya,” katanya sekali gus menggariskan prinsip utama dalam segala perancangan dan dasar yang digerakkan oleh FELDA.

Majlis turut menyaksikan penghargaan FELDA terhadap kerjasama strategik yang terjalin dengan pelbagai agensi dan syarikat utama dalam industri sawit negara.
Antara yang diberi pengiktirafan termasuk Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), FELCRA, RISDA, LGM, serta pemain swasta seperti Sime Darby Plantation, IOI Plantation, HAP SENG, dan United Plantation.
Penganjuran acara ini bukan sahaja menzahirkan komitmen FELDA dalam memperkasa sektor perladangan negara, malah menunjukkan kesediaan agensi itu untuk melangkah ke era baharu yang lebih lestari, mampan dan berpaksikan teknologi digital.

Ia sekali gus membuktikan bahawa FELDA bukan sekadar institusi bersejarah, tetapi juga pelopor masa depan yang lebih inklusif dan berdaya saing demi kelangsungan komuniti peneroka dan pembangunan negara secara menyeluruh.
https://shorturl.fm/Hei2X
https://shorturl.fm/JcUCd