editormaxinfo@gmail.com
HATYAI – Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-38 yang sedang berlangsung di Hatyai, Songkhla, mendapat pujian daripada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berikutan penganjurannya yang tersusun dan menepati standard antarabangsa.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, menyifatkan dua hari awal kejohanan sebagai sangat lancar dan memuaskan dari segi pengurusan serta pelaksanaan teknikal.
Beliau memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) selaku penganjur utama, termasuk dalam memastikan aspek keselamatan dipelihara sepenuhnya meskipun lokasi kejohanan sebelum ini dikaitkan dengan insiden keselamatan.
“Sepanjang dua hari pemantauan kami, saya amat berpuas hati dengan kelancaran perjalanan kejohanan ini.
“Komitmen serta kerja keras yang ditunjukkan oleh TAT dan Jawatankuasa Pengelola amat mengagumkan.
“Mereka sentiasa terbuka menerima nasihat dan pandangan daripada ISTAF demi memastikan sebarang isu yang timbul, khususnya berkaitan keselamatan dan kelancaran teknikal, dapat ditangani dengan cermat,” katanya yang turut bertindak sebagai Wakil Teknikal Kejohanan.
Beliau turut memuji kepimpinan barisan utama TAT yang diketuai Presidennya, Thana Chaiprasit, bersama Naib Presiden, Viradech Sompita serta Dr. Srihasak Arrirachakaran.
Turut diberi penghargaan ialah Pemangku Presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat yang menurutnya sentiasa memberikan sokongan penuh dalam memastikan kejohanan ini berlangsung dalam suasana profesional dan berprestij.
Kejohanan yang bermula pada 22 Julai lalu dan akan berakhir 27 Julai ini, berlangsung di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Hatyai.
Ia menyaksikan penyertaan 18 buah negara termasuk Malaysia, Myanmar, Korea Selatan, Singapura, Vietnam, Jepun, India, Sri Lanka dan Perancis, selain tuan rumah Thailand yang terkenal sebagai kuasa utama sukan sepak takraw dunia.
Menurut Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), majlis perasmian yang diadakan pada malam pembukaan turut menggambarkan kemegahan serta tradisi panjang penganjuran King’s Cup, yang telah ditauliahkan sebagai Kejohanan Dunia oleh ISTAF sejak Disember 1992.
“Majlis perasmian diserikan dengan persembahan seni tarian warisan Thailand iaitu Menora, yang bukan sahaja memperlihatkan kekayaan budaya tempatan, tetapi juga membayangkan permulaan yang bersemangat dan penuh makna bagi kejohanan sepak takraw antarabangsa tertua di dunia ini,” katanya.
Bagi menjamin integriti pertandingan, seramai 78 pegawai teknikal berkelayakan telah dilantik, termasuk 26 dari Thailand yang diketuai Manop Chujit, serta 52 lagi dari negara-negara sepak takraw utama seperti Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Myanmar.
Barisan Juri pula dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ISTAF, Fariq Halim dari Singapura dengan enam anggota lain termasuk Jais Abdul Karim dari Malaysia dan Prof. Chalerm Chaiwatcharaporn dari Thailand.
Jawatankuasa Penganjur King’s Cup jelas menunjukkan keupayaan luar biasa dalam mengendalikan pelbagai aspek penganjuran merangkumi penyediaan logistik, tempat pertandingan, sambutan kepada pasukan antarabangsa, sehingga penyusunan jadual yang efisien dan profesional.
Keseluruhan penganjuran King’s Cup 2025 setakat ini berjaya mencerminkan kesungguhan dan tekad Thailand dalam memastikan kejohanan ini bukan sahaja memenuhi ekspektasi antarabangsa, malah mampu menjadi penanda aras baharu bagi penganjuran sukan sepak takraw di peringkat global.


https://shorturl.fm/rMeGq