editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Dalam menghadapi perubahan pesat landskap pendidikan global, amalan pengajaran yang adaptif dan reflektif dilihat sebagai pemangkin utama dalam membentuk pendidik masa depan yang bersedia mendepani cabaran Era Industri 5.0.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who berkata, keperluan pendidikan hari ini tidak lagi terbatas kepada penguasaan kandungan akademik semata-mata, sebaliknya menuntut kebolehan guru untuk mengintegrasikan teknologi pintar, pemikiran reka bentuk serta empati kemanusiaan dalam setiap pendekatan pengajaran mereka.
“Kita tidak lagi bercakap tentang pengajaran konvensional semata-mata. Hari ini, kita bercakap tentang pengajaran yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, teknologi pintar dan pendekatan yang memanusiakan pendidikan,” katanya ketika merasmikan 1st International Teaching Practice Symposium (ITPS) 2025 di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Simposium yang bertemakan “Memperkasakan Pendidik Masa Depan dalam Era Industri 5.0” itu menghimpunkan lebih 30 pembentangan kertas kerja oleh ahli akademik, penggubal dasar, pengamal pendidikan serta wakil industri dari pelbagai negara, khususnya dari rantau ASEAN.
Penganjuran ini membuktikan bahawa UPSI terus kekal di barisan hadapan dalam menerajui inovasi pendidikan bertaraf antarabangsa.
Wong turut menekankan keperluan guru masa kini untuk sentiasa fleksibel dalam pendekatan pedagogi, mahir dalam penggunaan teknologi digital, dan pada masa sama prihatin terhadap kesejahteraan emosi serta sosial pelajar.
Beliau menyifatkan guru sebagai agen perubahan yang perlu menggalas tanggungjawab memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Amalan pengajaran yang berkesan perlu berasaskan bukti, dipacu data dan sentiasa terbuka kepada penambahbaikan.
“Guru pelatih perlu dididik untuk menilai keberkesanan amalan mereka serta membina jaringan profesional yang kukuh,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI) UPSI, Prof Madya Dr Ashardi Abas, dalam ucapannya berkata, latihan mengajar kini tidak lagi boleh dianggap sekadar memenuhi keperluan kurikulum, sebaliknya menjadi asas utama kepada pembentukan guru yang bersedia berhadapan dengan realiti kompleks dunia pendidikan masa kini.
Beliau berkata, guru praperkhidmatan hari ini perlu bersedia mengendalikan bilik darjah yang dihuni oleh pelajar pelbagai budaya dan latar bahasa, di samping berdepan dengan cabaran teknologi seperti kecerdasan buatan dan realiti maya, serta isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang menuntut intervensi secara empatik dan serta-merta.
Tambahnya, cabaran untuk menyeimbangkan antara keperluan penyeragaman sistem pendidikan dengan keperluan pemperibadian pendekatan pengajaran merupakan dilema semasa yang turut dihadapi oleh negara-negara ASEAN dan seluruh dunia.
Dalam usaha mendepani cabaran itu, Dr Ashardi menyarankan agar hala tuju latihan guru di Malaysia lebih tertumpu kepada pengukuhan hubungan antara latihan universiti dan amalan di sekolah.

Ini termasuklah pengintegrasian kemahiran digital, pedagogi kritikal dan prinsip pendidikan inklusif dalam setiap fasa praktikum.
“Di peringkat serantau, kita perlu membayangkan pertukaran praktikum rentas sempadan dan pada skala global pula, guru perlu dilatih untuk memimpin bilik darjah yang mencerminkan kompleksiti dunia,” katanya.
Simposium ITPS 2025 menjadi platform penting untuk meneliti semula pendekatan pendidikan guru, di samping menyatukan suara dan idea dari pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan seiring tuntutan era baharu.


Sign up now and access top-converting affiliate offers! https://shorturl.fm/Mv4mp
https://shorturl.fm/sC6cx