27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Persatuan Pekerja Gig desak MOT libat semua pihak berkepentingan dalam industri e-Hailing dan p-Hailing

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) digesa agar mengambil pendekatan lebih terbuka dan inklusif dalam menangani isu-isu yang membelenggu industri gig, khususnya dalam sektor e-hailing dan p-hailing.

Gesaan itu dikemukakan oleh enam persatuan yang mewakili penghantar dan pemandu dari seluruh negara yang menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan semasa yang dianggap terlalu sempit dan tidak menyeluruh.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, keenam-enam persatuan berkenaan berkata, sebarang proses libat urus oleh pihak kementerian tidak seharusnya hanya membabitkan satu pihak semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu merangkumi penyertaan pertubuhan-pertubuhan yang benar-benar aktif dan mempunyai rekod mewakili kepentingan serta suara akar umbi pekerja gig.

Persatuan-persatuan terbabit terdiri daripada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Mereka berkata, NGO serta pertubuhan yang aktif dalam lapangan memainkan peranan penting sebagai jambatan antara pembuat dasar dan realiti sebenar yang dihadapi oleh pekerja.

Isu-isu seperti ketidaktentuan pendapatan, ketiadaan perlindungan sosial serta ketidakseimbangan kuasa antara syarikat penyedia platform dan para pekerja merupakan antara permasalahan utama yang wajar diberi perhatian.

“Tanpa keterlibatan organisasi yang memahami realiti di lapangan, dasar yang dirangka berisiko tinggi untuk gagal mencapai matlamat dan tidak berpijak di bumi nyata,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kumpulan persatuan itu turut menekankan bahawa dasar yang bersifat adil dan berkesan hanya boleh diwujudkan sekiranya proses penggubalannya berasaskan data serta pengalaman sebenar pekerja di peringkat akar umbi.

Mereka berpandangan hanya melalui pendekatan menyeluruh dan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan, ekosistem industri gig di negara ini dapat dibangunkan secara mampan dan holistik.

Dalam kenyataan yang sama, mereka turut melahirkan kebimbangan terhadap keputusan MOT yang didakwa hanya membabitkan satu pihak dalam sesi libat urus berkaitan isu industri gig.

Menurut mereka, tindakan itu menimbulkan tanda tanya terhadap tahap ketelusan dan keseimbangan dalam proses membuat keputusan di peringkat kementerian.

“Libat urus yang bersifat sepihak bukan sahaja tidak mencerminkan gambaran sebenar landskap industri, malah ia berpotensi besar menyingkirkan pandangan, cabaran dan realiti yang dihadapi oleh majoriti pekerja gig yang menjadi tulang belakang perkhidmatan harian ini,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus mencerminkan harapan agar Kementerian Pengangkutan dapat membuka ruang kepada lebih banyak pihak untuk terbabit dalam sesi libat urus akan datang, bagi memastikan suara golongan pekerja tidak diketepikan dan pembangunan dasar yang lebih adil dapat direalisasikan demi kepentingan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular