30.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

YM Dato’ Sri Siti Nur Atiqah nafi terbabit isu penipuan haji percuma, akui tiada kaitan dengan MRF

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – MRF menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan mereka berhubung insiden membabitkan 82 jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, akibat masalah berkaitan visa haji Mujamalah.

Pemilik MRF, YM Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Dato’ Seri Baba tampil memberikan penjelasan berhubung insiden itu.

Menjawab pelbagai tuduhan yang tular di media sosial, beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa dirinya mahupun syarikat miliknya, MRF, tidak terbabit dalam apa jua bentuk penipuan atau skandal berkaitan ibadah haji.

“Saya nak tekankan, semua yang tular di media sosial itu tidak benar,” tegasnya, sambil merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan beliau secara langsung.

Siti berkata, penglibatannya dalam urusan berkenaan bermula apabila beliau menerima surat tawaran dan tiket penerbangan sah untuk menunaikan haji secara tajaan penuh daripada seorang individu yang dikenalinya menerusi kerjasama amal sebelum ini.

Dakwanya, agensi yang dinamakan sebagai Albalad itu, bertanggungjawab menyediakan dokumen berkenaan.

“Kami telah menerima surat tawaran untuk menunaikan haji secara tajaan penuh.

“Tapi kenapa pihak agensi yang bernama Albalad tidak mengaku? Surat terbabit jelas dikeluarkan oleh mereka,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Beliau turut memaklumkan pihak agensi menjanjikan penyambutan di Jeddah, namun pada saat akhir jemaah diminta menunggu kerana visa Mujamalah masih belum diperoleh.

Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar jemaah gagal berlepas.

“Saya sendiri ditaja. Keluarga saya pun ikut serta. Kenapa saya nak aniaya diri sendiri dan keluarga saya?,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada jemaah yang turut serta dalam rombongan terbabit menjelaskan tawaran “haji percuma” yang tular sebenarnya tidak tepat.

Menurutnya, kesemua 82 jemaah adalah penerima tajaan dan tidak terbabit dalam sebarang pembayaran bagi urusan visa atau penerbangan.

“Kami hanya berurusan mengenai dokumen. Penaja yang menguruskan visa dan penerbangan.

‘Kami pula diarahkan untuk tidak berhubung terus dengan agensi Albalad,” katanya.

Sumber itu juga menafikan dakwaan kononnya pasport disalah guna, malah semua dokumen diserahkan atas dasar kepercayaan kepada penaja.

Suasana di KLIA ketika itu menurutnya kekal terkawal, kecuali insiden kekecohan yang dicetuskan oleh segelintir individu.

“Hanya tujuh orang jemaah yang bangkit dan mencetuskan kekecohan. Selebihnya masih tenang dan berharap urusan haji tetap diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, selepas kehadiran polis, terdapat jemaah yang pada mulanya enggan membuat laporan berubah fikiran selepas diyakinkan, lalu bertindak membuat laporan bagi mendapatkan semula pasport mereka.

Siti berkata, beliau sendiri telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menjalani sesi soal siasat selama lebih 12 jam di Balai Polis KLIA dan juga Dang Wangi.

Walaupun keletihan, beliau menegaskan tidak pernah melenting kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.

Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan penyanyi Amir Ukays yang didakwa menimbulkan salah faham dan memburukkan lagi persepsi awam.

“Saya rasa dianiaya. Kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah kami sengaja menipu.

“Padahal, kami pun sama-sama menunggu dan sebahagian besar jemaah sudah pun selamat berangkat ke Mekah,” katanya.

Menjawab spekulasi yang mengaitkan syarikat miliknya dalam insiden ini, Siti berkata, MRF langsung tidak terbabit.

Beliau hanya bertindak sebagai perantara dalam membantu urusan jemaah atas dasar kebajikan dan bukan untuk tujuan perniagaan.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, isu ini langsung tiada kaitan dengan MRF. Semua ini berlaku atas tajaan individu lain,” katanya.

Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan berdasarkan beberapa laporan yang telah dibuat, termasuk daripada penyanyi berkenaan.

Beliau sendiri menyatakan kesediaan penuh untuk terus memberi kerjasama dan menjunjung prinsip kebenaran.

“Kalau benda ini betul-betul saya yang salah, kenapa ada jemaah yang dah pun selamat berangkat ke Mekah?,” luahnya.

Dalam sidang media itu, beliau turut menyeru media dan orang ramai agar tidak menjatuhkan hukuman berdasarkan maklumat separuh masak atau video yang tular semata-mata.

Menurutnya, terlalu banyak persepsi dan dakwaan yang dibina tanpa memahami keseluruhan cerita sebenar.

Baginya, isu ini masih belum menemui titik noktah. Namun apa yang jelas, masih terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab oleh pihak agensi Albalad serta individu yang bertindak sebagai penaja utama.

Siti Nur Atiqah tampil dengan keyakinan dan keterbukaan, bersedia menghadapi siasatan dan tidak gentar untuk menuntut pembelaan terhadap dirinya dan jemaah yang terkandas.

Katanya, ini bukan soal menjaga nama semata-mata, tetapi demi mempertahankan kebenaran dan maruah.

Pihak berkuasa diharap dapat menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh, agar mereka yang benar-benar bersalah dapat dibawa ke muka pengadilan dan jemaah mendapat keadilan yang sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular