editormaxinfo@gmail.com
KUALA NERUS – Pelancaran Kad Pekerja MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja di seluruh negara.
Kad istimewa yang diperkenalkan itu menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada ahli kesatuan sekerja, termasuk diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 buah syarikat yang mengambil bahagian.
Inisiatif ini disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkasa golongan pekerja dan memupuk kesedaran tentang kepentingan penyertaan dalam gerakan kesatuan sekerja.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja Malaysia, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, pihaknya optimis bahawa Kad Pekerja MADANI akan menjadi antara tarikan utama untuk menarik keanggotaan baharu dalam kalangan pekerja.
Menurutnya, jumlah keanggotaan kesatuan pekerja setakat tahun lalu telah mencecah 1,038,435 orang, menunjukkan peningkatan berbanding 1,008,371 ahli yang direkodkan pada tahun 2023.
“Sebelum ini, kami menyasarkan pertambahan keanggotaan baharu seramai 50,000 ahli setiap tahun.
“Dengan adanya Kad Pekerja MADANI, kami percaya sasaran ini mampu dicapai, bahkan mungkin melebihi jangkaan,” katanya pada Majlis penyerahan bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 Peringkat Zon Timur.
Selain itu, Mohd. Asri berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) bagi tahun 2025.
Peruntukan ini bertujuan menyokong pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesatuan yang memberi manfaat secara langsung kepada ahli, sekali gus memperkukuh peranan kesatuan sekerja sebagai pemangkin suara pekerja dalam pembangunan negara.
Program PHEKS dilihat sebagai platform penting yang bukan sahaja memperkasakan keupayaan kesatuan sekerja, tetapi juga mempererat hubungan antara pekerja dan kerajaan dalam mewujudkan suasana pekerjaan yang adil, inklusif dan sejahtera.
Dengan sokongan inisiatif seperti Kad Pekerja MADANI dan peruntukan strategik melalui PHEKS, kerajaan dilihat terus komited dalam mengangkat martabat pekerja serta memperkukuh landskap pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

