27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

Isu pakaian seragam kakitangan, CEO Pos Malaysia mohon maaf

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya berhubung isu pakaian seragam kakitangan syarikat itu yang dilaporkan rosak, baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dibuat bagi menjernihkan keadaan selepas kenyataan awal beliau menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warga kerja Pos Malaysia dan masyarakat umum.

Brewer mengakui respons yang diberikan sebelum ini seharusnya lebih berempati dan mengambil kira sensitiviti kakitangan yang terjejas secara langsung.

“Saya memohon maaf kepada semua kakitangan yang terkesan serta mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan saya sebelum ini.

“Saya sedar bahawa saya sepatutnya menunjukkan lebih banyak empati dalam menangani isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau.

Brewer berkata, pihak pengurusan sedang giat menambah baik proses dalaman bagi memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilakukan dengan lebih cepat dan sistematik.

Katanya, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat menjalankan tugas dengan selesa dan penuh keyakinan.

“Kami komited untuk membina budaya kerja yang berteraskan saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

“Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan kebajikan warga kerja kami,” katanya.

Isu pakaian seragam menjadi tumpuan selepas seorang kakitangan Pos Malaysia berkongsi keluhan di media sosial berkenaan keadaan seragamnya yang sudah rosak, selain mempersoalkan bilakah seragam baharu akan diberikan.

Hantaran itu mendapat perhatian ramai, termasuk daripada Brewer sendiri yang pada mulanya memberikan respons yang dianggap kurang sensitif.

Dalam kenyataan sebelum ini, beliau berkata, kakitangan berkenaan bernasib baik kerana tidak bekerja di syarikat penghantaran asing yang tidak menyediakan pakaian seragam langsung.

Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai pihak dan mendorong permohonan maaf serta penjelasan lanjut daripada beliau.

Mengulas lanjut, Brewer berkata, pihak syarikat telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi secara langsung kakitangan terbabit dan menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh.

“Masalah ini telah pun diselesaikan sepenuhnya dan kami amat menghargai semua pandangan yang dikongsikan.

“Terima kasih atas perhatian dan sokongan berterusan terhadap Pos Malaysia,” katanya.

Pos Malaysia turut menegaskan syarikat akan terus mendengar suara kakitangan dan masyarakat dalam usaha memperkukuh perkhidmatan serta menjaga kebajikan setiap anggota kerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular