24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Penipuan pakej haji: Agensi terbabit hilang lesen serta merta – Mohd Na’im

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah, meskipun berdaftar secara sah, bakal berdepan tindakan pembatalan lesen serta-merta sekiranya didapati terbabit dalam sebarang bentuk penipuan terhadap jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa ejen berlesen yang menyalahgunakan kepercayaan orang ramai dengan menawarkan perkhidmatan tidak sah atau palsu.

Tegasnya, lesen ejen-ejen terbabit telahpun dibatalkan dan tindakan lanjut sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Kes-kes penipuan ini bukan sahaja memberikan kesan besar kepada mangsa, malah turut mencemarkan nama baik institusi ibadah haji yang suci.

“Ia adalah suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan umat Islam,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dalam pada itu, beliau turut menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan kerajaan bertindak lebih tegas dan serius dalam menangani isu penipuan pakej haji.

Titah berkenaan disambut dengan penuh komitmen oleh kerajaan dan Mohd Na’im berkata, tindakan tegas akan diambil menerusi kerjasama strategik antara Lembaga Tabung Haji (TH), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam perkara ini. Kita akan pastikan mana-mana pihak yang memperdaya umat Islam dengan pakej palsu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Tabung Haji akan bertindak segera ke atas mana-mana pihak yang didapati terbabit,” katanya lagi.

Beliau berkata, fenomena penyebaran promosi palsu berkaitan ibadah haji melalui platform digital kini semakin membimbangkan dan memerlukan pemantauan menyeluruh daripada pelbagai pihak.

Beliau turut menekankan penipuan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kerugian wang ringgit, tetapi lebih menyedihkan apabila ia menjejaskan ibadah yang menjadi impian dan cita-cita ramai umat Islam.

“Kita tidak boleh biarkan umat Islam terus menjadi mangsa. Penipuan seperti ini sangat keji kerana ia membabitkan ibadah suci yang sepatutnya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kesucian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pembayaran kepada agensi yang menawarkan pakej haji atau umrah.

Katanya, semakan mudah boleh dilakukan sama ada agensi berkenaan mempunyai lesen yang sah menerusi sistem di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi pakej umrah, manakala hanya 37 Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberikan lesen rasmi oleh Lembaga Tabung Haji bagi menguruskan ibadah haji.

Sementara itu, Sultan Selangor turut bertitah agar umat Islam tidak mengambil kesempatan ke atas orang lain dengan menawarkan pakej haji palsu semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Baginda menegaskan perbuatan menipu dan memperdayakan umat Islam demi kepentingan peribadi adalah perbuatan keji dan amat dikesali.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular