32.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 22, 2025

Astro perkenal ‘Big Stage Alpha’, platform baharu cari kumpulan lelaki berbakat tanah air

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Astro sekali lagi mencetuskan fenomena baharu dalam dunia hiburan tanah air menerusi pelancaran program realiti terbaharu, Big Stage Alpha, sebuah versi segar kepada siri asal Big Stage yang terkenal dengan pencarian bakat nyanyian baharu.

Berbeza daripada musim-musim terdahulu, edisi kali ini tampil dengan format unik “all-male spin-off” yang menyaksikan seramai 18 peserta lelaki berentap untuk merebut tempat dalam kumpulan muzik lelaki pertama di bawah naungan Astro.

Big Stage Alpha bakal memulakan siarannya pada 27 April ini, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan boleh distrim melalui Astro GO serta sooka.

Program ini dijangka mencipta gelombang baharu dalam industri hiburan tempatan, dengan menampilkan gabungan pertandingan vokal intensif, elemen penceritaan penuh emosi serta sokongan padu daripada peminat dalam menentukan juara.

Berbekalkan kejayaan program Big Stage sebelum ini yang berjaya melahirkan bintang seperti Aisha Retno dan Nadeera Zaini, versi baharu ini memberi tumpuan kepada usaha membentuk sebuah “boy group” tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Peserta yang terpilih melalui proses uji bakat terbuka ini dinilai bukan sahaja dari aspek vokal, tetapi juga karisma pentas dan keupayaan untuk menyerlah secara berkumpulan.

Menariknya, Big Stage Alpha turut membuka peluang kepada peserta dari luar Malaysia, termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia, menjadikan pertandingan ini lebih berwarna-warni dan mencerminkan kepelbagaian bakat serantau.

Peserta berusia antara 18 hingga 37 tahun ini akan diuji dalam pelbagai cabaran mingguan membabitkan persembahan solo dan tugasan berkumpulan mengikut tema yang ditetapkan.

Penilaian akan dibuat oleh barisan juri profesional, namun penonton turut memainkan peranan penting menerusi undian yang akan menentukan siapa layak mara ke peringkat akhir.

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, Big Stage Alpha adalah langkah berani Astro dalam merespons trend global yang kini banyak menampilkan format pertandingan idola berasaskan jantina tunggal.

Menurutnya, program ini diilhamkan daripada kejayaan rancangan realiti popular Asia yang menggabungkan elemen kompetitif, naratif pembangunan diri serta kuasa fandom yang kuat.

Big Stage Alpha bukan sekadar pertandingan nyanyian, ia adalah platform untuk transformasi dan pembentukan bintang sebenar.

“Dengan sokongan pakar industri dari dalam dan luar negara, kami yakin peserta musim ini mampu pergi jauh dan mencipta impak dalam industri muzik tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Antara peserta yang bakal mencuri perhatian termasuk Afiq Sky, Alif Azri, Allan Andersn, Ariel Fesol, Ashmirul, Araff, Que, Qarl G, Daniel Sher, Ray-D, Apich Lo, Ridhwan Azman, Awienit, Suff Ahmed, Syafeek Ikhwan, Izat Ibrahim, Rizal Rasid dan Shaqeen.

Kesemua mereka bakal berentap saban minggu untuk meraih tempat dalam barisan akhir yang akan membentuk kumpulan lelaki pertama di bawah label Rocketfuel dan Astro.

Program ini akan dikemudi oleh dua hos berpengalaman dan berkarisma, iaitu Elly Mazlein dan selebriti terkenal Indonesia, Rina Nose, yang bakal menceriakan pentas dengan keunikan personaliti mereka.

Barisan juri pula terdiri daripada nama besar industri seperti Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini, yang akan memastikan mutu penjurian berada pada tahap tertinggi.

Big Stage Alpha turut disokong oleh Perfume Paradise sebagai Penaja Utama dan ZUS Ngupi sebagai Rakan Kopi Rasmi musim ini.

Kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi turut dijangka menambah kehangatan sepanjang siaran berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular