editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia muzik tempatan kembali meriah dengan kehadiran lagu raya baharu berjudul Kita Dah Raya yang menyatukan dua figura seni, Zoey Rahman dan Elliza Razak, dalam sebuah kolaborasi segar yang menyasarkan generasi muda masa kini.
Menariknya, lagu ini menjadi pengalaman pertama buat Zoey Rahman dalam bidang penulisan lirik, sesuatu yang diakuinya tidak pernah dijangka sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan sebagai pelakon, pengacara dan usahawan.
Menurut Zoey, idea asal tercetus apabila beliau diminta oleh pengurusnya untuk menulis gambaran suasana Hari Raya khusus untuk golongan Gen Z yang sedang bercinta.
Tanpa disangka, catatan ringkas itu telah dikembangkan menjadi lirik penuh oleh pihak pengurusan sebelum dihantar kepada komposer RiaRaiba untuk diolah menjadi sebuah lagu.
Zoey mengakui pada awalnya beliau terkejut apabila diminta menyanyikan lagu itu secara duet, namun selepas mendengar versi demo, keyakinannya mula terbina dan beliau bersetuju untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seninya.

Pada peringkat awal, penyanyi Anis Suraya dicadangkan sebagai pasangan duet, namun kekangan masa menyebabkan perancangan itu tidak dapat diteruskan. Akhirnya, Elliza Razak dipilih dan persetujuan dicapai dalam tempoh singkat, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi yang disifatkan penuh keserasian.
Elliza menyifatkan projek ini sebagai sesuatu yang spontan tetapi menyeronokkan, apatah lagi beliau dan Zoey sudah lama berkawan.
Pertemuan semula mereka mengimbau kenangan lama, sekali gus membantu mewujudkan keserasian yang kuat ketika proses rakaman.
Rakaman lagu Kita Dah Raya mengambil masa hampir enam jam dan dijalankan di Platinum Studio dengan sokongan jurutera bunyi Mr. Choy (Illegal) serta bimbingan vokal oleh Nine Phyne Ballerz.
Elliza turut memainkan peranan membantu dari segi panduan vokal dan memberi semangat kepada Zoey yang pada awalnya berasa gementar.
Lagu ciptaan RiaRaiba dengan lirik oleh Zoey Rahman ini telah dilancarkan di semua platform digital.
Video muzik rasmi pula sedang dalam pembikinan di studio Rusa Music dan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat menerusi saluran YouTube rasmi mereka.
Mengulas mengenai harapan terhadap lagu itu, Zoey optimis Kita Dah Raya mampu menjadi antara lagu raya pilihan ramai, malah berpotensi menjadi karya malar segar yang menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau turut mengaitkan kemunculan lagu ini sebagai kesinambungan tradisi lagu raya popular, seiring dengan aura klasik seperti Suasana Hari Raya yang pernah menjadi siulan ramai.
Diterbitkan oleh ENIM Music dan diedarkan oleh Rusa Music, Kita Dah Raya membawa nafas baharu dalam genre lagu perayaan dengan gabungan elemen moden dan emosi nostalgia, sekali gus dijangka menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

