editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan sebuah telefilem sarat emosi dan mesej kemanusiaan apabila Astro membawakan naskhah istimewa berjudul Doa Sang Pendosa, yang mengangkat isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita.
Diterbitkan oleh Red Bean Productions, telefilem ini menampilkan barisan pelakon wanita berkaliber seperti Datuk Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqilah, sekali gus menjadikannya antara karya yang paling dinanti-nantikan musim perayaan ini.
Naskhah ini adalah hasil tulisan Siti Jasmina dan diarahkan oleh Issey Fazlisham, yang berjaya mengemudi jalan cerita penuh konflik emosi dan realiti kehidupan dengan pendekatan yang menyentuh jiwa.
Mengangkat latar kehidupan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kota Bharu, Doa Sang Pendosa mengisahkan perjalanan beberapa wanita daripada pelbagai latar belakang yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan berusaha bangkit untuk memulakan kehidupan baharu.

Lebih daripada sekadar hiburan, karya ini menyorot kepincangan sosial serta keperluan sokongan emosi dan keluarga dalam proses pemulihan.
Telefilem ini dijadualkan bersiaran pada 22 Mac 2026, jam 3 petang di saluran Astro Prima, sekali gus menjadi antara pengisian utama Aidilfitri yang sarat dengan mesej keinsafan.
Menurut Farah Ahmad, yang memegang watak Zaiton, seorang warden tegas di pusat pemulihan, karakter itu menuntut keseimbangan antara ketegasan dan kasih sayang dalam mendidik penghuni pusat berkenaan.
Beliau menyifatkan peranan itu sebagai satu tanggungjawab besar, apatah lagi ia melibatkan gambaran realiti kehidupan sebenar individu yang sedang berjuang keluar daripada belenggu ketagihan.
Farah turut menekankan telefilem ini membawa mesej penting tentang harapan dan peluang kedua kepada mereka yang pernah terlanjur, selain mengingatkan masyarakat bahawa masalah penyalahgunaan dadah tidak mengenal usia dan latar belakang.
Bagi Datuk Fauziah Nawi pula, penglibatannya dalam naskhah ini memberi pengalaman bermakna apabila dapat bergandingan dengan pelakon daripada pelbagai generasi.
Beliau menyifatkan keserasian antara pelakon lama dan baharu sebagai kekuatan utama yang menjadikan penceritaan Doa Sang Pendosa lebih hidup dan berkesan.
Sementara itu, Nadia Aqilah melihat karya ini sebagai satu pendekatan berani kerana mengetengahkan barisan pelakon wanita sepenuhnya dalam mengupas isu berat yang jarang dipaparkan secara mendalam dalam karya tempatan.

Menurutnya, telefilem ini memberi ruang kepada pelakon wanita untuk membawa watak yang lebih kompleks dan mencabar.
Fatimah Abu Bakar yang membawakan watak June pula menyifatkan perjalanan emosi karakter tersebut sebagai refleksi kehidupan manusia yang penuh dengan kesilapan, namun masih mempunyai ruang untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar.
Beliau menegaskan kisah ini bukan sahaja tentang kejatuhan, tetapi juga tentang persahabatan, kekuatan dan keampunan.
Doa Sang Pendosa turut mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sekali gus memperkukuh mesej kesedaran yang ingin disampaikan kepada masyarakat.
Mengangkat kisah perjuangan tiga wanita iaitu June, Maria dan Rina yang menjalani proses pemulihan di bawah pengawasan seorang warden, telefilem ini memaparkan konflik dalaman, cabaran emosi serta hubungan persahabatan yang diuji dalam suasana menyambut Aidilfitri.

