26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026

RTM sajikan 10 filem terbaik pelbagai genre, hiburan Raya seisi keluarga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka lebih meriah apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan barisan 10 filem terbaik merangkumi pelbagai genre untuk tontonan seisi keluarga sepanjang musim perayaan.

Menerusi slot istimewa yang disusun rapi, RTM menawarkan pelbagai pilihan hiburan yang menyentuh emosi, mencuit hati serta sarat dengan nilai kekeluargaan.

Filem-filem ini akan disiarkan melalui saluran TV1, TV2, Okey serta platform digital RTMKlik, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada penonton untuk menikmati kandungan pada bila-bila masa.

Antara filem yang bakal mencuri perhatian ialah Orang Kampung Otak Kimia yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda kampung yang dipandang rendah tetapi sebenarnya memiliki kebijaksanaan luar biasa dalam bidang sains.

Turut ditampilkan ialah filem antarabangsa penuh aksi Godzilla x Kong: The New Empire yang menyaksikan pertempuran epik antara dua makhluk gergasi menentang ancaman baharu.

Bagi peminat drama tempatan, Sayang Salmah menjanjikan kisah kekeluargaan yang menyentuh hati, manakala filem Bollywood klasik Yes Boss pula membawa konflik cinta dan kerjaya yang penuh emosi.

Tidak ketinggalan, filem aksi tempatan Sangkar turut menghiasi skrin dengan kisah perjuangan seorang pejuang MMA yang berdepan konflik dalaman, selain Pak Tam Duda yang mengetengahkan kisah komedi romantik seorang duda kampung.

Elemen seram komedi turut dihidangkan menerusi Zombie Kampung Pisang, sementara filem adiwira terkenal The Dark Knight menjanjikan aksi mendebarkan dengan kehadiran watak ikonik Joker.

Golongan kanak-kanak dan keluarga pula pasti terhibur dengan animasi DC League of Super-Pets yang penuh warna-warni, manakala filem Tamil Sivaji: The Boss menampilkan kisah perjuangan menentang rasuah dan ketidakadilan.

Kesemua filem ini dipilih bagi memenuhi citarasa pelbagai lapisan penonton, daripada aksi mendebarkan, komedi ringan, drama kekeluargaan hingga animasi yang menghiburkan.

Inisiatif ini selari dengan usaha RTM untuk terus menjadi platform hiburan utama rakyat Malaysia, khususnya dalam menghidupkan suasana perayaan bersama insan tersayang.

Dengan susunan kandungan yang menarik dan pelbagai, RTM bukan sahaja menawarkan hiburan berkualiti, malah turut memperkukuh nilai kebersamaan dan kasih sayang sempena Aidilfitri, menjadikan setiap detik di hadapan kaca televisyen lebih bermakna.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular