27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 11, 2026

Gaya Raya 2026 Central i-City Shah Alam: Gabungan tradisi & moden tarik ribuan pengunjung sambutan Aidilfitri

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Central i-City tampil dengan kempen istimewa bertemakan “Gaya Raya 2026” yang menggabungkan elemen gaya hidup moden bersama akar tradisi perayaan, sekali gus menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

Sebagai antara pusat membeli-belah ikonik di Shah Alam, kempen ini memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kemeriahan musim perayaan dalam suasana yang menggabungkan budaya tradisional dengan sentuhan kontemporari, di samping pelbagai aktiviti berteraskan komuniti.

Kempen yang berlangsung sehingga 5 April 2026 ini telah dilancarkan secara rasmi oleh EXCO Selangor merangkap ADUN Kota Anggerik Mohd Najwan Hamidi bersama Pengurus Besar Central i-City, Jason Tan dalam satu majlis yang meriah.

Mengangkat konsep “Visi Moden Berteraskan Tradisi”, Central i-City telah bekerjasama dengan artis doodle tempatan, Wan Jepah bagi menghasilkan identiti visual kempen itu.

Menerusi karya kreatifnya, Wan Jepah menampilkan gambaran keluarga moden yang memandu kenderaan elektrik ke pusat beli-belah untuk membuat persiapan Hari Raya, sambil diselitkan latar rumah kampung tradisional yang sarat dengan elemen nostalgia seperti memasak lemang dan penyediaan juadah bersama keluarga.

Pendekatan ini mencerminkan evolusi gaya hidup masyarakat Malaysia masa kini yang semakin moden, namun masih mengekalkan nilai tradisi dan budaya dalam sambutan perayaan.

Dalam masa sama, semangat Ramadan turut disemarakkan melalui pelbagai inisiatif komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Central i-City telah menjemput pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan Subang untuk menikmati pengalaman membeli-belah, potongan rambut percuma serta berbuka puasa bersama tetamu jemputan.

Selain itu, usaha menyemai nilai berkongsi dan bersedekah diteruskan dengan pengagihan bubur lambuk tradisional kepada orang ramai sepanjang bulan Ramadan, sekali gus menghidupkan lagi suasana kebersamaan dalam komuniti.

Sebagai destinasi gaya hidup terkemuka di barat Kuala Lumpur, Central i-City turut menawarkan pengalaman membeli-belah “one-stop” menerusi penganjuran Mega Bazaar Raya yang menampilkan lebih 80 gerai.

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai keperluan Aidilfitri termasuk pakaian, aksesori, hiasan serta juadah tradisional di bawah satu bumbung.

Kemeriahan diteruskan dengan Bazaar Ramadan yang berlangsung sehingga 17 Mac, menawarkan pelbagai pilihan makanan jalanan tempatan dan hidangan tradisional yang sesuai untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bagi meningkatkan pengalaman pengunjung, pusat beli-belah ini turut memperkenalkan Pesta Gaya Raya dengan pelbagai tarikan termasuk lanjutan waktu operasi, cabutan bertuah hujung minggu dengan hadiah baucar tunai serta kemudahan parkir percuma pada waktu tertentu, menjadikan kunjungan lebih selesa dan menyeronokkan.

Sepanjang tempoh kempen, pengunjung juga disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan seperti dikir barat, muzik angklung, pertunjukan perkusi raya, perarakan ketupat serta tarian gaya jalanan, selain persembahan pemuzik jalanan oleh AP Duo.

Tidak ketinggalan, pelbagai pertandingan turut dianjurkan untuk penyertaan seisi keluarga termasuk Pertandingan Fesyen Raya, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan silat serta Pertandingan Tarian Gaya Raya yang dijangka menarik penyertaan ramai.

Dengan gabungan elemen moden dan tradisi, kempen Gaya Raya 2026 di Central i-City bukan sahaja menghidupkan semangat perayaan, malah memperkukuh nilai kekeluargaan dan komuniti, menjadikannya destinasi pilihan utama untuk persiapan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular