24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

STF Revenue lancar pusat sehenti MM2H di TRX, perkukuh Malaysia sebagai destinasi pilihan ekspatriat global

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program Malaysia My Second Home (MM2H) melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran pusat sehenti pertama yang diurus sepenuhnya oleh sektor swasta di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX) mercu tanda kewangan dan pelaburan antarabangsa di tengah-tengah ibu kota.

Inisiatif yang diterajui oleh STF Revenue (MM2H) Sdn. Bhd. itu menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk ekspatriat, pelabur dan pesara dari seluruh dunia.

Majlis pelancaran berprestij itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, yang menegaskan kepentingan program penempatan jangka panjang seperti MM2H dalam memperkukuh ekonomi negara melalui pelancongan dan pelaburan langsung asing.

“Usaha menarik warga asing berkualiti untuk menetap di Malaysia bukan sahaja menyokong sektor pelancongan, malah membawa limpahan ekonomi yang besar.

“Di bawah seliaan MOTAC, MM2H terus memainkan peranan strategik dalam menarik ekspatriat dan pelabur asing yang ingin membina kehidupan serta peluang perniagaan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kerangka baharu MM2H yang kini merangkumi empat kategori SEZ, Silver, Gold dan Platinum memberi lebih banyak pilihan kepada warganegara dunia yang ingin menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

“Pendekatan baharu ini bukan sahaja menarik mereka yang ingin menetap, tetapi juga mereka yang ingin berkembang, melabur dan berpartisipasi dalam pelbagai sektor seperti hartanah, pendidikan serta penjagaan kesihatan,” katanya.

Setakat Julai 2025, MOTAC merekodkan lebih 3,300 permohonan baharu MM2H, membabitkan dana asing sekitar RM300 juta serta pelaburan hartanah melebihi RM430 juta, menunjukkan keyakinan kukuh komuniti antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi gaya hidup dan pelaburan utama di rantau ini.

Sementara itu, Pengarah Operasi Antarabangsa STF Revenue, Jonathan Low Choon Wai, berkata penubuhan pusat sehenti di TRX akan memudahkan urusan dan mempertingkatkan pengalaman pelanggan antarabangsa yang menyertai program MM2H.

“Kami mahu menjadikan pengalaman hidup di Malaysia mudah, selesa dan menarik untuk pelabur, pesara serta profesional antarabangsa.

“Kehadiran kami di TRX melambangkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai hab gaya hidup, kewangan dan pelaburan serantau,” katanya.

Sebagai anak syarikat kepada STF Group, STF Revenue menandakan peluasan portfolio kumpulan itu daripada sektor sumber tenaga kerja kepada bidang pelancongan dan pelaburan jangka panjang.

Sejak ditubuhkan pada 2016, STF Group telah berkembang pesat dalam pelbagai sektor termasuk pengurusan tenaga kerja, penyediaan asrama pekerja, perkhidmatan kebersihan dan pembangunan sistem berasaskan teknologi.

Kini, STF Group memperkukuh kedudukannya dalam industri pelancongan dengan memiliki lesen rasmi MM2H dan Premium Visa Programme (PVIP).

Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara STF Revenue dan Rivertree Group, membabitkan dua tokoh industri, Datuk Wira Joey Yan dari STF Group dan Dato’ Simon David Leong dari Rivertree.

Kerjasama itu bakal membuka peluang baharu dalam menarik pembeli antarabangsa untuk melabur dalam hartanah tempatan sambil menikmati sokongan visa dan penempatan jangka panjang yang lebih efisien melalui STF Revenue.

“Kami mahu memastikan apabila seseorang memilih Malaysia, mereka bukan sekadar membeli rumah atau mendapatkan visa, tetapi membina kehidupan di sini,” kata Simon.

Dalam memperkukuh ekosistem MM2H, STF turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pemain industri seperti sektor penerbangan dan kewangan.

Melalui program Batik x STF, syarikat penerbangan Batik Air menawarkan tiket penerbangan pergi balik percuma bernilai sehingga RM5,000 kepada pemohon MM2H yang layak.

Selain itu, STF juga bekerjasama dengan bank-bank tempatan bagi menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun deposit tetap serta nasihat kewangan kepada peserta program.

Langkah-langkah strategik ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh STF Group dalam menyokong agenda pelancongan dan pelaburan nasional, seiring persiapan Malaysia menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

ARTIKEL BERKAITAN

Popular