24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” rai rakan strategik, tiket laris dengan sambutan hangat peminat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjuran konsert berskala besar yang menghimpunkan artis legenda tidak akan berjaya tanpa sokongan kukuh daripada penaja dan rakan strategik.

Justeru, sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” telah mengadakan satu majlis khas meraikan barisan rakan strategik mereka di Redbox The Gardens, Mid Valley City, baru-baru ini.

Konsert gandingan dua kumpulan popular Indonesia, Radja dan Wali Band, dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events, dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events).

Majlis penghargaan ini juga disatukan dengan sidang media pelancaran rasmi konsert, menjadikannya sebuah acara ‘dua dalam satu’ yang penuh bermakna.

Pengarah Projek merangkap Pengarah Konsert, Muhamad Firdouz Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Fidote, berkata kerjasama erat antara semua pihak menjadi tunjang kejayaan penganjuran konsert berskala besar seperti ini.

“Radja dan Wali bukan nama asing di Malaysia mahupun Indonesia. Showmanship mereka di pentas memang luar biasa dan penuh tenaga. Kehadiran mereka pada 10 Januari depan pasti dinantikan peminat setia,” katanya.

Menurut Fidote, kejayaan konsert ini juga tidak dapat direalisasikan tanpa peranan penting rakan strategik yang menyumbang dari pelbagai aspek.

Antara yang terbabit ialah Redbox dan Three Hand Production (billboard) sebagai rakan strategik utama, selain GGR Motor dan Dua Darjat Coffee sebagai minuman rasmi.

Turut serta ialah Roerdum sebagai jam tangan rasmi, Era, Sinar dan THR Gegar sebagai radio rasmi, Gempak sebagai media rasmi serta Royale Chulan sebagai hotel rasmi konsert.

“Kami amat menghargai komitmen rakan strategik kerana dalam keadaan industri hiburan yang mencabar sekarang, mendapatkan penaja bukan perkara mudah.

“Mereka bukan sahaja menyokong projek ini, malah sudah menyatakan minat untuk bekerjasama dalam projek kami yang akan datang,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, pihak penganjur turut melancarkan peraduan cabutan bertuah untuk penonton yang akan menghadiri konsert pada Januari nanti.

Menurut Fidote, sambutan awal terhadap tiket amat memberangsangkan apabila kategori tiket RM177 habis dijual dalam tempoh seminggu sahaja, manakala kebanyakan tiket premium dibeli oleh syarikat korporat.

“Setakat ini, jualan tiket telah mencapai 60 peratus. Ini bukti sokongan luar biasa daripada peminat dan kami ingin merakamkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk media yang turut membantu mempromosikan acara ini,” katanya.

Pada sidang media itu, ia turut disertai secara dalam talian oleh Wali Band dari Indonesia.

Beliau turut menyifatkan sambutan hangat ini sebagai bukti bahawa lagu-lagu kedua-dua kumpulan masih segar di hati peminat walaupun sudah hampir dua dekad dalam industri.

“Kita boleh lihat bagaimana lagu-lagu mereka yang sudah berusia lebih 17 tahun kini kembali tular di TikTok dengan pelbagai versi remix. Ini menunjukkan permintaan terhadap muzik mereka masih kuat,” kata Fidote.

Konsert “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, dan dijangka menjadi antara persembahan terbesar awal tahun hadapan.

Malam penuh nostalgia ini akan menampilkan barisan lagu popular yang pernah menjadi fenomena seperti “Jujur”, “Bulan” dan “Cinderella” oleh Radja, serta “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)” oleh Wali Band.

Vokalis Radja, Ian Kasela, melahirkan rasa teruja untuk kembali membuat persembahan di Malaysia selepas beberapa tahun.

“Malaysia sentiasa dekat di hati kami. Kami tidak pernah melupakan peminat di sini, dan dapat kembali ke Malaysia adalah satu impian yang menjadi kenyataan,” katanya.

Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001 dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram).

Manakala kumpulan Wali, yang terdiri daripada Faank, Apoy, Ovie dan Tommy, turut menganggap Malaysia sebagai destinasi istimewa.

“Syukur, Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami merindui sambutan hangat peminat serta keunikan budaya dan makanan di sini. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan sesuatu yang berbeza dan istimewa,” kata mereka.

Tiket “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” ditawarkan dalam beberapa kategori bermula RM177 hingga RM977 dan boleh dibeli melalui platform rasmi Fantopia.io.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular