24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Penulis lirik Hairul Anuar Harun kini bergelar Dr. selepas dianugerahkan PhD di UPSI

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Nama penulis lirik tersohor tanah air, Dr. Hairul Anuar Harun, kini terpahat dalam sejarah bukan sahaja sebagai seniman prolifik, tetapi juga sebagai ilmuwan selepas dikurniakan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Peradaban Melayu sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.

Istiadat itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, yang juga Canselor UPSI, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian gemilang buat tokoh seni tanah air yang telah lama menabur bakti dalam dunia muzik dan sastera.

Menurut Dr. Hairul Anuar, perjalanan menyiapkan tesis beliau bukan sesuatu yang mudah.

Penyelidikan dan penulisan memakan masa tiga tahun penuh, disusuli satu tahun tambahan untuk proses kelulusan sebelum beliau akhirnya menamatkan pengajian dengan jayanya.

“Sebenarnya, saya hampir putus asa menunggu proses kelulusan, tetapi atas beberapa faktor, saya terpaksa berkeras kepada diri sendiri untuk menamatkan apa yang telah dimulakan.

“Alhamdulillah, tahun ini saya berjaya menyelesaikan kesemuanya,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen.

Selain bergelar graduan UPSI, Dr. Hairul Anuar turut dikenali sebagai penulis lirik berpengalaman yang telah menghasilkan lebih daripada 300 karya, termasuk lagu-lagu ikonik seperti Cindai, Balqis dan Hati Kama karya yang menjadi sebahagian daripada warisan muzik Malaysia.

Beliau turut berkongsi bahawa minat mendalam terhadap bacaan dan karya seni sejak usia muda menjadi pendorong utama dalam menghasilkan lirik yang berkualiti serta sarat nilai estetika.

“Saya mula menulis pada umur 22 tahun. Sebagai seniman, kita perlu banyak membaca dan menelaah supaya dapat memberi sesuatu yang baharu kepada masyarakat dan industri.

“Begitu juga dengan tesis saya yang mengkaji karya M. Nasir, ia sangat mencabar kerana ini adalah kajian pertama seumpamanya di dunia,” katanya.

Dr. Hairul Anuar turut menegaskan bahawa proses analisis dan penyelidikan dalam bidang akademik mempunyai banyak persamaan dengan penulisan lirik.

Kedua-duanya memerlukan penerokaan ilmu, kepekaan terhadap budaya, serta kemampuan menzahirkan makna dengan cara yang mendalam dan berpengaruh.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas segala sokongan yang diterima sepanjang tempoh pengajian, termasuk daripada keluarga, rakan-rakan dan pihak universiti.

Katanya, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga sumbangan kecil untuk memperkaya pemahaman masyarakat terhadap peradaban Melayu dan warisan muzik negara.

Istiadat Konvokesyen ke-27 UPSI tahun ini menyaksikan seramai 7,173 graduan menerima ijazah masing-masing meliputi pelbagai peringkat pengajian termasuk sarjana, doktor falsafah dan diploma.

Majlis berprestij ini berlangsung selama seminggu bermula 11 hingga 18 November 2025 di universiti berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular