25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 16, 2025

Kongsi tentang pengkhianatan, kekuatan dan pemberdayaan diri, DOLLA tampil dengan ‘Question’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan sensasi wanita Malaysia, DOLLA, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu mereka yang berjudul “Question”, sebuah lagu pop penuh emosi dan tenaga yang membawa mesej mendalam tentang pengkhianatan, kesedihan serta keberanian untuk berdepan dengan diri sendiri.

Walaupun pada pendengaran pertama “Question” kedengaran seperti kisah tentang kecurangan pasangan, karya ini sebenarnya menggali lapisan emosi yang lebih peribadi perjalanan menghadapi kelemahan dan kesakitan diri selepas dikecewakan oleh insan yang dicintai.

“Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya ia adalah tentang berdepan dengan perasaan sendiri.

“Ia mengajak kita untuk jujur dengan emosi dan tidak takut untuk kelihatan rapuh,” kata Tabby.

Ditulis oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun serta ahli DOLLA sendiri Tabby, Sabronzo, dan Angel, lagu ini mempamerkan kematangan muzik kumpulan tersebut dengan gabungan lirik yang kuat dan melodi yang segar serta mudah diingati.

Tabby turut berkongsi tentang proses kreatif di sebalik penghasilan lagu terbabit.

“Kami menerima demo yang luar biasa daripada Kuizz dan Justin dengan korus yang sangat ‘catchy’. Kami mencari sesuatu yang lebih lirik dan mudah dikaitkan kali ini.

“Kami ubah sedikit bahagian instrumental dan beberapa lirik supaya emosi benar-benar terserlah. Bekerja dengan mereka di studio memang menyeronokkan dan penuh tenaga!” katanya.

Diterbitkan, digubah dan disusun oleh Justin Seow dan Kuizz, “Question” mengekalkan identiti pop DOLLA yang dikenali ramai, namun kali ini disuntik dengan kedalaman emosi yang lebih matang memaparkan naratif tentang menemukan semula kekuatan diri selepas melalui kekecewaan.

Sebagai pelengkap kepada lagu yang bersemangat ini, DOLLA turut mempersembahkan koreografi dinamik yang menggambarkan keberanian dan keyakinan wanita moden.

“Kami berpeluang bekerjasama dengan Akkaraphol Prompen, koreografer berbakat dari Thailand. Gayanya menggabungkan pergerakan feminin dengan formasi unik dan peralihan yang tersusun, selaras dengan tenaga lagu ini.

“Kami mahu tarian ini memancarkan keyakinan tetapi tetap menyeronokkan,” kata Sabronzo pula.

Kekuatan visual “Question” turut terserlah menerusi muzik video berkonsepkan suasana diner retro, yang dirakam di Fowlboys, The Campus.

Video muzik terbabit menampilkan sisi DOLLA yang berani dan penuh karakter, dengan lakonan pelakon lelaki yang memainkan watak teman lelaki curang yang akhirnya menerima “balasan” secara simbolik.

“Kami mahu menampilkan tema retro yang menyeronokkan dan sedikit nakal. Walaupun jadual penggambaran agak ketat kerana dilakukan di luar waktu operasi, kami berpuas hati dengan hasilnya.

“Video ini menunjukkan sisi kami yang kuat, berani dan tidak takut berdepan dengan kekecewaan,” tambah Angel.

Melalui karya ini, DOLLA menukar kisah pengkhianatan menjadi simbol kekuatan, disampaikan dengan gaya fesyen, tarian dan keyakinan yang sudah sinonim dengan imej kumpulan berkenaan.

Selepas pelancaran “Question”, DOLLA bersiap sedia untuk fasa baharu dalam karier mereka menjelang tahun 2026 yang dijangka lebih besar dan bermakna.

“Kami merancang untuk melancarkan album penuh baharu dan mengembangkan kehadiran DOLLA ke seluruh Asia Tenggara.

“Kami sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak muzik dan berhubung dengan peminat di luar Malaysia,” kata Angel.

Menutup tahun 2025 dengan penuh gaya, peminat turut berpeluang menyaksikan kumpulan ini secara langsung dalam konsert yang dinanti-nantikan, “Good Girls Gone Bad”, yang dijadual berlangsung pada 6 Disember 2025.

Dengan “Question”, DOLLA bukan sahaja memperkukuh reputasi mereka sebagai kumpulan pop wanita paling berpengaruh di Malaysia, tetapi juga membuktikan bahawa kekuatan sebenar lahir apabila seseorang berani menyoal, menghadapi dan akhirnya bangkit daripada luka lama.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular