24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

MQA, EMGS perkasa kerjasama strategik permudah kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memperkemas dan mempermudah proses kemasukan pelajar antarabangsa ke institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Kerjasama yang dimeterai semula antara dua agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu bertujuan mempertingkatkan perkongsian data serta penyelarasan sistem bagi memudahkan urusan calon pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran, berkata inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara MQA dan EMGS, malah memperluas pelaksanaan perkongsian data Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan maklumat akreditasi yang penting bagi tujuan penilaian dan promosi antarabangsa.

“Jalinan ini akan memperkukuh usaha sama dalam perkongsian data serta menjadi pemangkin kepada promosi Malaysia sebagai hab pendidikan global seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,” katanya.

Beliau turut mendedahkan sejak tahun 2020, lebih 16 juta carian telah direkodkan menerusi capaian MQR sehingga November 2025, menunjukkan kesedaran masyarakat semakin meningkat terhadap kepentingan menyemak status kelayakan dan akreditasi sesuatu program sebelum memilih tempat pengajian.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung sempena Festival Idea Putrajaya 2025, dengan MQA diwakili Prof. Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran dan EMGS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Novie Tajuddin.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; serta Pengarah Bersama Strategi Korporat EMGS, Azhar Mohamed.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin berkata, pembaharuan MoU berkenaan menandakan satu lonjakan penting dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara menerusi integrasi sistem data secara digital antara EMGS dan MQA.

“Melalui integrasi ini, proses pengesahan akreditasi kursus di institusi pendidikan tinggi Malaysia dapat dilaksanakan secara automatik, sekali gus meningkatkan kecekapan serta ketelusan pengurusan data pendidikan tinggi negara,” katanya.

Tambah beliau, langkah terbabit akan memastikan hanya program pengajian yang diiktiraf dan diluluskan kerajaan ditawarkan kepada pelajar antarabangsa, sekali gus memperkukuh keyakinan global terhadap kualiti pendidikan tinggi Malaysia.

“Kerjasama ini bukan sekadar tentang penyelarasan data, tetapi satu langkah ke hadapan dalam memperkasa transformasi digital dan membentuk landskap pendidikan tinggi negara yang lebih bersedia menghadapi cabaran global,” katanya.

Usaha bersepadu antara MQA dan EMGS ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk terus muncul sebagai destinasi pembelajaran bertaraf dunia dan hab pendidikan tinggi serantau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular