editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Arena permotoran tanah air kembali bergema dengan penganjuran Northern Festival Of Speed (NFOS), karnival automotif terbesar di utara Semenanjung yang buat julung kalinya menghimpunkan peminat kereta, motosikal dan gaya hidup automotif dari seluruh Malaysia serta negara jiran.
Festival berprestij yang berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober 2025 di PICCA Butterworth, Pulau Pinang itu dianjurkan oleh Northern Speedo dan Choii Motorsports, dengan PMH (Perniagaan Mazlan & Hashimah) sebagai penaja utama, disokong oleh pelbagai rakan strategik industri automotif.
Acara tiga hari itu menjanjikan pengalaman luar biasa buat pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik merangkumi pameran automotif, gaya hidup, hiburan serta aktiviti keluarga, menjadikannya destinasi wajib bagi peminat dunia permotoran.
Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Izwan Mazlan, berkata penglibatan PMH sebagai penaja utama NFOS 2025 adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menyokong pertumbuhan industri automotif tempatan dan mengiktiraf minat generasi muda terhadap dunia permotoran.

“Kami berbesar hati menjadi penaja utama bagi menjayakan program bermanfaat ini.
PMH sentiasa menyokong aktiviti anak muda serta usaha untuk merakyatkan acara automotif agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Izwan berkata, PMH turut mempamerkan pelbagai kereta import recond (terpakai) dari luar negara di tapak pameran selain memperkenalkan motosikal elektrik (EV) buatan tempatan, model LION G1 GGR EV, yang kini mendapat sambutan hangat di pasaran.
“Pengunjung bukan sahaja boleh melihat, malah berpeluang mencuba sendiri pengalaman menunggang motosikal EV ini menerusi sesi pandu uji yang disediakan,” katanya.

Izwan berkata, PMH bersama GGR Motors turut menyokong penuh agenda kerajaan dalam memperluas penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai langkah ke arah mobiliti hijau dan teknologi lestari.
“Arah tuju industri automotif kini berfokus kepada teknologi hijau. Kami mahu menjadi sebahagian daripada pelaksana yang memberi pendedahan dan galakan kepada rakyat Malaysia untuk beralih kepada kenderaan EV selaras dengan misi kerajaan dalam ‘Go Green Revolution’,” katanya lagi.
Pemilihan PICCA Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran disifatkan tepat kerana kemudahan dan keluasan kawasan yang sesuai bagi aktiviti automotif berskala besar.
NFOS turut mendapat perhatian meluas daripada pempengaruh automotif terkenal seperti Motor Maniac, Uncle Shah, Nim 199, Retro Havoc, Alie Kuoppa, Abe Mey Sarman Printing, Narock, Bateriku dan ESR.

Lebih menarik, acara ini turut menarik penyertaan peminat dari Thailand dan Singapura, yang hadir untuk menyaksikan pelbagai aktiviti seperti drift show, taxi drift, pameran kereta “rare”, car meet, car show, serta pelbagai persembahan eksklusif.
Izwan berkata, Northern Festival Of Speed kali ini menawarkan hadiah cabutan bertuah terbesar dalam sejarah acara automotif tempatan, termasuk tiga buah kereta bernilai tinggi.
“Kami menawarkan hadiah utama berupa Mercedes A-Class W177 (Unregister) bernilai RM200,000, diikuti Nissan 350Z dan Honda Civic FD untuk dimenangi pengunjung bertuah,” katanya.

Dengan bayaran tiket masuk hanya RM15, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai acara menarik seperti pertandingan ‘limbo stance’, ‘2-step competition’, permainan interaktif, pameran kereta eksklusif, serta konsert malam menampilkan barisan artis terkenal seperti XPDC, Cherpen, 53 Universe, K.O.I dan ramai lagi.
Dalam pada itu, penganjur bersama NFOS, Faris Azri (Choii Motorsports) dan Muhammad Hadzimi (Northern Speedo) pula optimis bahawa festival ini mampu menarik lebih 70,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran berdasarkan sambutan hangat peminat automotif dari seluruh negara.
“Kami melihat NFOS sebagai platform utama bagi peminat automotif tempatan dan antarabangsa untuk berkumpul, berkongsi minat, serta menikmati dunia permotoran dalam suasana santai dan mesra keluarga,” kata mereka.
Acara yang berlangsung dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam ini dijangka mencapai kemuncaknya pada esok, 5 Oktober, dengan majlis penutup rasmi dan pengumuman pemenang hadiah utama cabutan bertuah.