22.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 19, 2025

ASTAF perkenal SOP khas tangani salah laku dalam STL: Piala Juara-Juara 2025

editormaxinfo@gmail.com

SEREMBAN – Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengambil langkah tegas dalam memastikan integriti sukan sepak takraw terus terpelihara apabila memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi menangani kes salah laku pemain serta pegawai pasukan.

Langkah bersejarah ini akan mula dikuatkuasakan secara rasmi sempena kejohanan Liga Sepak Takraw: Piala Juara-Juara (STL-CC) 2025 yang berlangsung di Arena Karisma, Seremban, Negeri Sembilan bermula 3 hingga 7 September ini.

SOP berkenaan diwujudkan susulan beberapa insiden tidak beretika yang berlaku sepanjang siri Grand Prix STL 2025, khususnya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, termasuk tindakan menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil serta menendang papan iklan.

ASTAF menilai kes-kes ini sebagai perbuatan mencemari maruah sukan dan perlu ditangani segera, lebih-lebih lagi apabila STL-CC 2025 turut disertai pasukan luar negara seperti Ratchaburi dari Thailand, Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, SOP ini memberi penekanan terhadap penguatkuasaan tindakan serta-merta terhadap pemain dan pegawai yang melakukan salah laku, termasuk pemberian kad kuning atau merah secara automatik.

“Mereka yang dikenakan kad akan digantung daripada perlawanan seterusnya sehingga laporan rasmi pengadil diterima dan dibawa ke perhatian Wakil Teknikal atau Pengarah Kejohanan.

“Kes akan dibicarakan oleh jawatankuasa tatatertib yang dilantik penganjur sebelum sebarang tindakan selanjutnya dikenakan,” katanya.

Menurut beliau, SOP ini melengkapkan dan memperjelas Fasal 16.4.1, 16.4.2 serta 17.2 Undang-Undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Tambahnya lagi, penguatkuasaan ini turut memberi ruang kepada pengadil untuk menjalankan tugas dengan lebih jelas serta melindungi mereka daripada sebarang kecaman tidak berasas.

“Sudah tiba masanya SOP ini dikuatkuasakan dan pada masa yang sama, tanggungjawab serta bidang kuasa pengadil juga perlu dikemaskinikan.

“Kita tidak mahu lagi melihat situasi di mana seorang jurulatih yang telah dikenakan kad merah masih dibenarkan bersama pasukan pada perlawanan berikutnya tanpa sebarang tindakan tatatertib,” katanya.

Abdul Halim berkata, ASTAF sentiasa memantau perkembangan STL 2025 yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan sebuah stesen televisyen tempatan, melibatkan beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Ipoh dan Seremban sejak Mei lalu.

Namun, beliau tidak menafikan terdapat kelemahan dalam aspek pengadilan yang kadang kala mencetuskan reaksi negatif daripada pemain, pegawai pasukan mahupun penonton.

“Saya tidak menyalahkan sepenuhnya para pengadil kerana bukan mudah mengawal emosi dan situasi dalam gelanggang yang penuh tekanan. Namun, tindakan agresif tidak sepatutnya menjadi budaya dalam sukan ini,” katanya lagi.

Bagi memastikan kelancaran penguatkuasaan SOP semasa STL-CC 2025 di Seremban, ASTAF telah menghantar pasukan pengadil dan pegawai teknikal berkaliber, termasuk 10 pengadil Malaysia yang diiktiraf ISTAF serta lima lagi dari India, Indonesia, Singapura, Thailand dan Korea Selatan.

Turut membantu ialah 10 pegawai teknikal antarabangsa (ITO) bagi memantau dan menyelaras perjalanan pertandingan.

Sebagai satu lagi inisiatif penambahbaikan, ASTAF turut memperkenalkan borang laporan analisis pengadil perlawanan yang akan digunakan secara rasmi bermula kejohanan kali ini.

Borang ini bertujuan menilai dan meningkatkan mutu pengadilan serta kecekapan tugas mereka dari semasa ke semasa.

Langkah progresif ASTAF ini dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk memelihara maruah sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan STL-CC 2025 berlangsung dalam suasana yang lebih profesional, adil dan berdisiplin.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular