editormaxinfo@gmail.com
BATU KAWAN – Kestabilan negara hanya akan dapat dikekalkan sekiranya semua pihak menghormati prinsip demokrasi dan tidak terikut-ikut dengan sentimen kebencian yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, asas utama hala tuju negara terletak pada semangat perpaduan yang kukuh serta pelaksanaan pembangunan yang bersifat inklusif, terutama dalam usaha menangani isu-isu utama seperti kemiskinan, perumahan dan kos sara hidup.
“Perpaduan ini bukan sekadar soal politik, tetapi kekuatan sebagai satu bangsa untuk terus membantu kerajaan memajukan negara ini.
“Kalau pilih nak selamatkan negara ini, kita mesti jaga perpaduan negara kita. Ini kekuatan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Stadium Negeri, hari ini.
Tambahnya, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada keupayaan rakyatnya untuk saling menghormati dan menyantuni antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Apa hebatnya Malaysia? Memang Melayu Islam, bumiputera majoriti tapi kena santuni semua termasuk orang Cina, India, Iban, Kadazan,” katanya lagi sambil menekankan kemajmukan negara adalah satu kekuatan yang perlu diraikan, bukan dijadikan alasan perpecahan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy.
Dalam ucapan yang sama, Anwar turut memberi peringatan tegas bahawa sebarang usaha untuk menukar kerajaan mestilah dilakukan secara sah dan demokratik, iaitu menerusi proses Parlimen dan bukannya melalui tekanan jalanan atau demonstrasi.
“Jangan anggap ini semua mudah, tidak. Membangun itu mengambil waktu, merobohkan itu senang sekali.
“Saya percaya usaha-usaha orang yang khianat dan dengki itu ada,” katanya.
Beliau berkata, pertukaran kerajaan hanya boleh berlaku menerusi sistem Parlimen yang sah, seperti usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan bukannya dengan sekadar mendesak secara terbuka agar beliau meletakkan jawatan.
“Siapa kata tidak boleh tukar kerajaan? Boleh. Speaker Tan Sri (Johari Abdul) sebut, bawa usul di Parlimen, hilang sokongan kepada Perdana Menteri dan bawalah usul ke Parlimen.
“Tapi mereka tak boleh, sebab apa? Tidak ada sokongan. Jadi tunggu pilihan raya,” tegasnya.

Anwar turut mengulas mengenai gerakan atau suara-suara tertentu, termasuk dari segelintir tokoh agama, yang cuba mempengaruhi rakyat supaya meragui proses demokrasi sedia ada.
Beliau berkata, walaupun rakyat berhak menyuarakan pandangan dalam sistem demokrasi, tindakan berkenaan mestilah berlandaskan fakta dan bukan berdasarkan sentimen semata-mata.
“Jadi ingat, dengan tunjuk perasaan Perdana Menteri boleh letak jawatan? Saya tak mahu halang kerana kita negara demokrasi tetapi atas alasan apa?.
“Ini dibicara di mana-mana, termasuk kadang-kadang orang yang berjubah, ustaz. Tidak semua, ada yang baik,” katanya.
Selesai menyampaikan ucapan, Perdana Menteri turut meluangkan masa menyantuni pengunjung yang hadir ke majlis berkenaan, termasuk meninjau reruai-reruai pameran yang disertai oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dalam menyemarakkan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025.


Drive sales, earn big—enroll in our affiliate program! https://shorturl.fm/4UJeO
https://shorturl.fm/NtEkm