30.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

Kembali dengan single emosi, ‘Pernah Punya Aku’ pembuka tirai album terbaharu Shila Amzah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Shila Amzah, kembali merancakkan industri muzik tempatan dengan peluncuran single terbaharunya berjudul Pernah Punya Aku, sebuah karya penuh emosi yang ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri.

Lagu ini bukan sahaja menandakan kemunculan semula Shila selepas berehat panjang, tetapi juga menjadi refleksi kematangan perjalanan seninya selama lebih dua dekad.

Dikenali dengan vokal mantap dan keupayaan luar biasa dalam menyampaikan lagu beremosi, Shila menyifatkan Pernah Punya Aku sebagai karya paling peribadi pernah dihasilkan.

Lagu itu tercetus dalam suasana yang amat emosional, ketika dia masih berada dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak.

Dalam suasana itu, Shila akui dirinya bergelut dengan ketidakseimbangan emosi dan suami menjadi individu penting yang menyarankan agar dia menyalurkan apa yang dirasai ke dalam sebuah lagu.

“Ketika itu, emosi saya sangat tidak stabil. Suami saya menyarankan agar saya cuba luahkan apa yang saya rasa melalui lagu dan dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku.

“Ia bukan sekadar luahan, tetapi juga satu proses penyembuhan buat diri saya,” kata Shila berkongsi proses penulisan lagu berkenaan, yang hanya mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Proses rakaman lagu ini turut berjalan lancar di bawah bimbingan Genervie Kam, penerbit dan penggubah muzik berpengaruh tanah air.

Menurut Shila, kolaborasi mereka bukan sahaja berjalan dengan efisien, malah amat menyenangkan, sehingga rakaman lagu itu selesai dalam tempoh kurang daripada satu jam.

“Saya rasa sangat selesa bekerja dengan Genervie. Dia memahami saya bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga sebagai seorang wanita. Proses rakaman berjalan sangat lancar dan berkesan,” katanya lagi.

Dari segi lirik dan penyampaian, Pernah Punya Aku menyentuh tema kekecewaan dalam hubungan namun bukan semata-mata untuk meratapi kesedihan.

Sebaliknya, Shila menyuntik unsur kekuatan dan harapan dalam mesej lagunya agar ia menjadi ruang untuk pendengar, khususnya wanita, mencari pemulihan dan kekuatan diri.

“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di balik setiap kepedihan ada jalan keluar.

“Lagu ini adalah refleksi perasaan ramai wanita yang pernah ditinggalkan atau dikhianati.

“Tapi dalam masa yang sama, saya selitkan kata-kata semangat supaya mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya penuh ketulusan.

Sebagai penghormatan kepada pengalaman wanita, Shila memilih untuk memperdengarkan lagu ini terlebih dahulu kepada ibunya.

Kata Shila, lagu ini didekasikan kepada seorang wanita yang dicurangi dan ditinggalkan, justeru pandangan ibunya amat penting sebelum lagu itu dikongsi kepada umum.

“Saya mahu ibu saya mendengarnya dahulu kerana dia lebih dekat dengan sudut pandang itu.

“Alhamdulillah, katanya lagu ini sangat menyentuh dan menggambarkan apa yang pernah dia rasa,” katanya lagi dengan penuh emosi.

Pernah Punya Aku adalah single pertama daripada album penuh Shila Amzah yang dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Album itu dijangka menjadi lembaran baharu dalam karier muzik Shila, yang kini tampil bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai seorang ibu dan wanita yang lebih kuat.

Dalam perkembangan terkini, kredibiliti Shila sebagai seorang komposer turut mendapat pengiktirafan apabila dia dipilih sebagai antara tenaga kreatif dalam program realiti digital Raise The Star Malaysia yang kini bersiaran di Astro Ria, sebaris dengan nama-nama besar seperti Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok.

Single Pernah Punya Aku diterbitkan oleh Nova Music dan boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik.

Video muzik rasmi lagu ini juga sudahpun dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos menerusi pautan: https://youtu.be/AspTIpnf7A0.

Dengan peluncuran single ini, Shila Amzah membuktikan bahawa muzik tetap menjadi ruang peribadi untuknya berkarya, menyembuh dan menyentuh hati jutaan pendengar dengan jujur, indah dan penuh kekuatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular