editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Malaysia sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkukuh jalinan serantau dan memperkasakan golongan belia menerusi teknologi apabila menjadi tuan rumah kepada Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25), yang berlangsung meriah di Tunjong, Kelantan.
Cabaran berprestij ini yang menghimpunkan pasukan belia dari seluruh Asia Tenggara bukan sekadar sebuah pertandingan robotik biasa.
Ia menjadi medan penting bagi mengetengahkan daya cipta, kepintaran digital dan semangat kerjasama rentas sempadan dalam kalangan generasi muda ASEAN.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ASEAN Y-RoboC’25 sebagai simbol perpaduan dan kreativiti yang lahir daripada aspirasi bersama belia serantau.
Katanya, program ini bukan sahaja mencerminkan kepentingan inovasi digital dalam dunia pekerjaan masa depan, malah memperkukuh solidariti ASEAN melalui perkongsian kepakaran dan teknologi.
“Cabaran ini menghimpunkan belia dari seluruh Asia Tenggara yang menampilkan ciptaan inovasi digital masing-masing.
“Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi satu gerakan serantau yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti dan aspirasi bersama belia ASEAN,” katanya selepas majlis perasmian acara berkenaan.
Penganjuran ASEAN Y-RoboC’25 tahun ini disertai oleh 12 pasukan dari 10 negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste yang hadir sebagai pemerhati.
Sepanjang tempoh tiga hari, peserta mempamerkan kecanggihan teknologi dan kebolehan teknikal masing-masing, sambil bertukar pandangan dan pengalaman dalam suasana yang penuh semangat dan kesepakatan.

Lebih menarik, cabaran robotik ini turut diadakan serentak dengan Hari Kerjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Zon Timur 2025, anjuran Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS).
Acara ini menjadi antara agenda penting Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyemarakkan semangat persiapan Malaysia menjelang Kepengerusian ASEAN 2025.
Menurut Hannah, TVET kekal menjadi tonggak utama dalam penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi mendepani keperluan ekonomi moden.
Sehubungan itu, Hari Kerjaya TVET Zon Timur 2025 menggabungkan enam ILKBS utama dari Kelantan, Terengganu dan Pahang, dengan kerjasama 16 syarikat industri serta agensi kerajaan, bagi membuka peluang kerjaya secara langsung kepada pelajar dan graduan.
“Kami mahu cipta lebih banyak platform untuk pelajar TVET mengasah bakat dan mencipta peluang masa depan mereka,” katanya lagi, sambil memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan ILKBS kini melebihi 95 peratus.
Hannah turut berkongsi kejayaan ramai graduan yang bukan sahaja berjaya memperoleh pekerjaan, malah mampu memulakan perniagaan sendiri atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, pencapaian ini selari dengan matlamat negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, sejajar dengan Dasar TVET Negara dan pelan strategik ASEAN bagi pembangunan belia.
Penganjuran ASEAN Y-RoboC’25 bukan sahaja memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemacu inovasi belia serantau, tetapi juga sebagai negara yang komited dalam mendepani cabaran masa depan melalui pelaburan dalam bakat, teknologi dan jaringan kerjasama antarabangsa.

