editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, bakal kembali menggamatkan pentas dengan kemunculan konsert yang dinanti-nantikan, Dato’ M. Nasir CIPTA 3, yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.
Konsert ini menandakan penutup kepada trilogi konsert “CIPTA” yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam landskap muzik tempatan.
Lebih menarik, konsert kali ini mendapat sokongan padu daripada Etiqa selaku rakan strategik utama, dengan Harley Davidson turut serta menjayakan malam penuh energi dan nostalgia itu.
Gabungan ini dijangka menambah keunikan acara berkenaan melalui konsep yang dinamakan “Malam Ini Gua Rock”, sekali gus meraikan semangat kebebasan dan ekspresi muzik rock yang menjadi nadi persembahan kali ini.
Sebagai simbolik dan penghargaan kepada peminat, sebuah motosikal Harley-Davidson Softail STD FXST bernilai RM114,000, lengkap dengan perlindungan insurans daripada Etiqa, akan dihadiahkan secara ikhlas oleh M. Nasir kepada seorang penonton bertuah yang hadir pada malam konsert itu.
Pemenang akan dipilih daripada kalangan pembeli tiket tanpa mengira kategori tempat duduk.

Konsert CIPTA 3 bakal menyaksikan M. Nasir menyampaikan lagu-lagu rock ikonik hasil nyanyian dan ciptaan beliau sendiri dan lagu-lagu yang pernah mewarnai industri muzik serta meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa peminatnya.
Persembahan ini bukan sekadar hiburan, malah satu penghormatan terhadap karya-karya beliau yang telah menjadi sebahagian daripada identiti muzik negara.
Peminat turut digalakkan untuk tampil dengan tema berpakaian “Rock Cara Lu… Janji Rock”, menggambarkan kebebasan individu untuk mengekspresikan gaya masing-masing selaras dengan semangat rock yang akan mewarnai malam itu.
Pengasas Icon Entertainment yang juga penganjur konsert ini, Iman Tang berkata, kerjasama antara pihak artis, Harley Davidson dan Etiqa adalah satu gandingan dinamik yang bakal membawa konsep persembahan ke tahap yang lebih tinggi.

“Apa yang penting, pemenang motosikal akan dipilih secara adil daripada kalangan pembeli tiket dari semua kategori,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad, turut berkongsi keterujaan syarikat itu untuk menjadi sebahagian daripada konsert bersejarah ini.
“Etiqa teruja untuk bekerjasama dengan M. Nasir dan ICON Entertainment dalam pelancaran Konsert Dato’ M. Nasir CIPTA 3, yang juga pengalaman dipacu penglibatan digital.
“Menerusi aplikasi Etiqa+, pengguna mendapat akses awal untuk membeli tiket pra-jualan pada 3 Julai 2025 selama 24 jam,” katanya.
Selain itu, beberapa kempen menarik turut dirancang untuk memberi peluang kepada pelanggan memenangi tiket konsert secara eksklusif.
Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diikuti melalui Instagram rasmi @iconentertainmentmy dan @datomnasircipta.

Harga tiket konsert ditawarkan dalam pelbagai kategori, bermula dari RM258 (TEGUH) hingga RM628 (PAWANA), dan boleh didapati melalui laman web www.ticket2u.com.my/mnasircipta3.
Pembelian tiket secara umum akan dibuka bermula Jumaat, 4 Julai 2025, jam 11 pagi. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian hotline WhatsApp: 012-6530 700.
Dato’ M. Nasir CIPTA 3 bukan sekadar konsert, tetapi satu pengalaman seni yang menyatukan warisan muzik rock dengan semangat semasa.
Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh memori dan semangat di Axiata Arena pada 27 September ini.

