33.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

GGR Motor lancar motosikal elektrik pertama, Lion G1 pada harga mampu milik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri automotif Malaysia hari ini menyaksikan satu detik bersejarah apabila GGR Motor (M) Sdn Bhd melancarkan motosikal elektrik pertama keluarannya, Lion G1, dengan harga subsidi mampu milik serendah RM1,599 menerusi program MARiiCas.

Majlis pelancaran yang berlangsung penuh meriah itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Turut hadir menyaksikan pelancaran ialah Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Zulfikri Osman; serta barisan pemimpin industri, agensi kerajaan dan wakil komuniti EV tempatan dan antarabangsa.

Motosikal Lion G1, yang dipasang dengan motor berkuasa 3,000 watt dan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 120 kilometer bagi setiap pengecasan penuh, disasarkan sebagai produk revolusioner untuk pasaran tempatan.

Dengan keupayaan pengecasan pantas 50 peratus dalam masa hanya 1 jam 30 minit dan waranti menyeluruh sehingga 50,000 kilometer, ia ditawarkan pada harga asal RM3,999.

Namun, menerusi subsidi program MARiiCas, pengguna hanya perlu membayar RM1,599, menjadikannya antara motosikal EV paling mampu milik di pasaran ketika ini.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran Lion G1 adalah langkah pertama ke arah visi syarikat untuk menjadikan “Satu Rumah, Satu EV” sebagai kenyataan.

“Ini bukan hanya slogan, tetapi aspirasi kami. Kami mahu setiap isi rumah di Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau lokasi sama ada di bandar, kampung, flat PPR atau FELDA, semua orang berpeluang memiliki kenderaan elektrik yang berpatutan, menjimatkan dan berkualiti tinggi,” katanya.

Sejak pra-pelancaran, sebanyak 3,000 unit Lion G1 telah terjual dan penyerahan kumpulan pertama sebanyak 1,000 unit dijadualkan bermula pada penghujung Julai ini.

Dalam usaha memperkenalkan teknologi hijau kepada masyarakat secara lebih meluas, GGR Motor turut menganjurkan Karnival EV Rider Malaysia 2025, sebuah acara berskala nasional yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, pengguna serta komuniti EV dari dalam dan luar negara.

Karnival yang berlangsung selama satu hari di Saloma Kuala Lumpur dan tapak karnival Lanai Matic itu diserikan dengan kehadiran selebriti tanah air seperti Ajak Shiro, Nabil Ahmad, Johan, Cat Farish, Black Hanifah, Bella Astillah, Datuk Aaron Aziz, Farid Kamil, Datuk Seri Aliff Syukri dan ramai lagi.

Acara turut menampilkan persembahan daripada artis indie tempatan seperti Jemson, The Woohoo dan Iqbal, selain kolaborasi DJ antarabangsa termasuk Iksan Skuter dari Indonesia, DJ Teera dari Thailand serta DJ Alip Mazian dari Malaysia.

Tambah menarik, pengunjung juga berpeluang memenangi motosikal EV melalui cabutan bertuah dengan hanya membeli t-shirt GGR bernilai RM40.

GGR Motor menjalinkan kerjasama strategik dengan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) Sdn Bhd sebagai Rakan Strategik Eksklusif dan pengedar utama produk EV mereka, dengan sokongan daripada rakan industri seperti BATERIKU.

Inisiatif ini dilihat sebagai pemacu utama kepada pembangunan ekosistem mobiliti hijau dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab permotoran EV serantau.

Bagi memperluaskan manfaat ekonomi, GGR turut bekerjasama dengan MARA dalam usaha melantik usahawan MARA sebagai pengedar EV di seluruh negara serta menyediakan latihan teknikal TVET.

Antara institusi yang terbabit dalam kolaborasi ini termasuk IKM Beseri, UniKL MFI dan institusi pendidikan MARA yang lain, yang akan menawarkan latihan SKM Tahap 3 dalam bidang pemasangan, penyelenggaraan dan penjualan motosikal EV.

Dalam aspek perkhidmatan selepas jualan, GGR Motor dan PMH Motor telah memeterai kerjasama strategik dengan PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) untuk penubuhan bengkel rasmi PETRONAS MotoExpert, di mana produk pelincir EV PETRONAS Iona akan digunakan secara eksklusif.

BATERIKU pula memainkan peranan penting dalam menyelaras aspek penyelenggaraan dan sokongan teknikal di seluruh negara.

GGR Motor turut memperkukuhkan keupayaan teknologinya melalui kolaborasi antarabangsa bersama pengilang seperti Varchea Votol (China), Votol Thailand, FIN China dan Vectrix.

Sebagai tanda komitmen sosial, syarikat ini juga menyumbangkan lima buah motosikal EV kepada masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Awal Muharram, lengkap dengan penyelenggaraan percuma seumur hidup satu bentuk wakaf teknologi yang mencerminkan nilai murni dan tanggungjawab sosial korporat syarikat.

“Majlis hari ini bukan sekadar pelancaran motosikal, tetapi adalah permulaan kepada legasi baharu masa depan yang kita cipta bersama.

“Kami mahu memastikan semua rakyat Malaysia berpeluang menikmati kemudahan mobiliti hijau pada kadar yang berbaloi,” kata Mussaddiq.

Dengan pelancaran ini, GGR Motor muncul sebagai pengeluar motosikal EV milik penuh usahawan Bumiputera pertama di negara ini, sekali gus memperkukuhkan usaha Malaysia ke arah masa depan mobiliti lestari dan teknologi hijau.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular