29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 28, 2026

Sambutan Ma’al Hijrah diwarnai pra pelancaran Gema Selawat dan Martabat al-Quran, langkah awal Sekretariat Ekonomi ASEAN Worldwide

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Sempena keberkatan Ma’al Hijrah dan mengenang detik agung Hijrah Rasulullah SAW, satu majlis pra pelancaran simbolik siri kedua program Gema Selawat dan Martabat al-Quran telah diadakan sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh penyatuan ummah melalui kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan penghayatan al-Quran.

Majlis ini adalah kesinambungan daripada siri pertama yang telah diadakan serentak di Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar pada 1 Rejab 1446H yang lalu.

Malam itu menyaksikan laungan selawat bergema sehingga jam 3 pagi, membawa aura kecintaan dan keinsafan dalam kalangan umat Islam yang hadir.

Program itu kini memasuki fasa kedua sebagai persediaan menjelang pelancaran penuhnya yang dirancang berlangsung sekitar bulan Ogos nanti, bertepatan dengan 12 Rabiul Awal tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menerusi pelancaran ini, penganjur turut mengumumkan penubuhan Sekretariat Ekonomi ASEAN Worldwide, sebuah inisiatif yang menyatukan lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan konsortium di bawah satu payung.

Sekretariat ini bertujuan untuk memacu pembangunan ekonomi ummah serta mempromosikan produk tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.

“Insya-Allah, menjelang 12 Rabiul Awal nanti, kita sasarkan lebih 100 NGO dan korporat akan bergabung di bawah sekretariat ini.

“Tujuan kita jelas ialah memperkasa ekonomi umat Islam dan dalam masa yang sama mengangkat martabat al-Quran serta memasyhurkan selawat ke atas Nabi SAW sebagai teras penyatuan ummah,” kata Ketua Kordinator Gema Selawat dan martabatkan al-Quran di puncak Menara serta Pengasas NH Mall World Wide,  Al Fadhil Ustaz Zawawi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Datuk Zainal Abidin Sakom (Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan), Datin Dr. Hartini Osman (Presiden Women Economic Forum ASEAN 2025), Dr. Hasan Hamzah (Pengasas Yayasan Pembangunan Buku Negara), Datuk Seri Fairuz Zainudin (Pengasas Idola Holding ), Zainy Husin ( Pengasas GrakChat ) dan Professor Paduka Dr. Supyan Hussin (Pengerusi KOGAJAN).

Turut sama meraikan majlis pelancaran itu ialah Datuk Shahrul Miza (CEO Aliffpay), Mat Ella ( Pengetua Maahad Tahfiz Istiqomatuddin Sementa Klang), Datuk Johari Ghani (Khat Pro), YAM Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning Ke-20 Hj. Mohd Salleh b. Hj. Mohd Som (Lembaga Adat Undang Naning Ke-20 & Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Naning), Dato’ Paduka Mohamead Nazri Shah b. Hj. Mohd Salleh (Pengasas & Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Naning & Lembaga Adat Undang Naning ke-20) dan Dato’ Seri Nan Kayo Hj. Mashuti b. Mat Soom (Lembaga Penasihat Yayasan Naning & Lembaga Adat Undang Naning ke-20).

Ustaz Zawawi berkata, program ini terbuka kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang politik atau fahaman tertentu.

Malah, penyertaan dari pelbagai kaum dan agama turut dialu-alukan, selaras dengan semangat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Namun, bagi penyertaan dalam aspek ekonomi halal, syarat pengesahan halal daripada pihak JAKIM akan tetap menjadi keutamaan.

Fokus utama sekretariat ini juga adalah kepada pengembangan sektor agromakanan negara, khususnya dalam bidang pertanian, perikanan dan penternakan.

“Aspek keselamatan makanan atau ‘food security’ sebagai isu yang semakin mendesak dan memerlukan perhatian serius.

“Justeru, kempen galakan pengusahaan tanah-tanah kosong dan terbiar di seluruh negara akan digerakkan demi memastikan kelangsungan sumber makanan negara pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, pelbagai seminar berfokus ekonomi dan pembangunan industri akan dianjurkan, termasuk bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri berat.

Namun, penekanan akan diberikan kepada pendekatan praktikal dan berterusan, bukan sekadar pelaksanaan bersifat simbolik atau bersifat sementara.

“Hasrat kita bukan hanya untuk ‘buat sekadar buat’. Kita mahu inisiatif ini terus berkembang secara berstruktur, berkesan dan istiqamah.

“Bukan hanya untuk Malaysia, tetapi juga ke peringkat ASEAN dan antarabangsa. Kita harap penyatuan ini menjadi satu gelombang kebangkitan ekonomi ummah yang berlandaskan keberkatan Al-Quran dan selawat ke atas Rasulullah SAW,” katanya lagi.

Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, siri pelancaran ini bukan sekadar satu program kerohanian, malah menjadi pemacu perubahan dalam landskap ekonomi umat Islam.

Melalui usaha kolektif ini, ia diharapkan mampu memperkukuh jati diri, memartabatkan syiar Islam dan memperkasa daya saing masyarakat Islam di peringkat global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular