editormaxinfo@gmail.com
ROME – Sebuah lukisan berusia lebih tiga abad di Galeri Uffizi, Florence, mengalami kerosakan serius selepas seorang pengunjung bertindak meniru gaya dalam lukisan berkenaan demi menghasilkan kandungan untuk media sosial.
Kejadian malang itu berlaku apabila lelaki terbabit secara tidak sengaja terjatuh dan menghempap kanvas lukisan, mengakibatkan permukaannya koyak.
Lukisan berkenaan merupakan potret Putera Tuscany, Ferdinando de’ Medici, hasil karya pelukis terkenal Itali, Anton Domenico Gabbiani yang dilukis pada tahun 1712.
Insiden itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) muzium, yang menunjukkan pengunjung terbabit kehilangan imbangan ketika cuba bergaya di hadapan lukisan itu.
Dia kemudian kelihatan tersandar ke belakang sehingga tubuhnya terkena lukisan yang dipamerkan di dinding galeri.
Rakaman jarak dekat menunjukkan dengan jelas kesan koyakan pada permukaan lukisan, dipercayai akibat tekanan secara tiba-tiba.
Menurut kenyataan rasmi pihak muzium, identiti lelaki terbabit telah dikenal pasti dan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa kehakiman Itali.
Lukisan bersejarah itu segera dikeluarkan daripada ruang pameran untuk kerja-kerja pemulihan yang akan dijalankan oleh pakar konservasi seni.
Sementara itu, keseluruhan pameran yang memaparkan lebih 150 karya seni abad ke-18 termasuk karya agung oleh pelukis terkenal seperti Francisco Goya, Giovanni Battista Tiepolo dan Canaletto terpaksa ditutup buat sementara waktu sehingga 2 Julai bagi memastikan keselamatan karya-karya lain serta membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Pengarah Galeri Uffizi, Simone Verde, menyuarakan kebimbangannya terhadap fenomena pelawat yang semakin cenderung mengunjungi muzium bukan untuk menghayati seni, tetapi semata-mata untuk tujuan bergambar dan mencipta kandungan media sosial.
“Kami sedang meneliti langkah-langkah baharu untuk mengetatkan peraturan lawatan ke muzium bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Sudah tiba masanya kita mendidik orang ramai agar lebih menghormati nilai budaya dan sejarah yang dipamerkan di institusi seperti ini,” katanya.
Insiden di Galeri Uffizi bukanlah yang pertama berlaku dalam tempoh terdekat.
Awal Jun lalu, Muzium Palazzo Maffei di Verona turut mengalami kerosakan selepas sekumpulan pelancong tidak sengaja merosakkan kerusi kristal, hasil seni kontemporari ciptaan Nicola Bolla, ketika cuba mengambil gambar.
Pengarah muzium berkata, kejadian itu sebagai “mimpi ngeri terburuk” bagi mana-mana institusi seni dan budaya.
“Kadangkala, obsesi untuk merakam gambar menyebabkan kita mengabaikan sepenuhnya kesan dan akibat terhadap warisan seni yang tidak ternilai ini,” katanya kecewa.
Pihak muzium di seluruh dunia kini semakin giat mencari jalan untuk menyeimbangkan akses awam kepada karya seni dengan keperluan menjaga keselamatan dan keaslian warisan budaya demi generasi akan datang.

