32.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 22, 2025

Afdlin Shauki perkenal Motto “Mesra Setiawangsa”, usaha tingkat kualiti kepimpinan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Figura yang dikenali sebagai pengarah, penghibur, serta aktivis kemasyarakatan, Datuk Afdlin Shauki melangkah lebih jauh dengan niat untuk berkhidmat kepada rakyat secara lebih langsung melalui pentas politik.

Terkenal dengan keprihatinannya terhadap isu-isu kebajikan dan pembangunan komuniti, Afdlin telah lama membuktikan komitmennya melalui Yayasan Afdlin Shauki (YAS).

Yayasan ini telah menjalankan pelbagai inisiatif, antaranya misi kemanusiaan ke Syria, pengagihan bantuan makanan dan keperluan asas kepada golongan berpendapatan rendah, serta pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal dari golongan kurang mampu.

Semua ini membuktikan keprihatinan Afdlin bukanlah sekadar kata-kata, tetapi sebuah tindakan nyata yang memberi impak langsung kepada masyarakat.

Melalui langkah berani ini, Afdlin mengumumkan hasratnya untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Setiawangsa pada pemilihan parti yang akan datang.

Bagi beliau, jawatan ini bukanlah untuk kepentingan peribadi atau agenda politik, tetapi sebagai lanjutan perjuangan sosial yang telah beliau lalui selama ini.

Afdlin berpendapat cabang dalam sebuah parti politik harus menjadi asas kekuatan yang penting.

Jika cabang diurus dengan penuh keikhlasan, semangat kebersamaan, dan pengurusan yang baik, ia akan menjadi benteng utama dalam merealisasikan agenda reformasi parti berkenaan.

Sebagai simbolik kepada pendekatan dan gaya kepimpinannya, Afdlin memperkenalkan motto “Mesra Setiawangsa”.

Baginya, kepimpinan bukan sekadar tentang menggubal dasar, tetapi yang lebih penting adalah mengenai menyantuni rakyat dan memenuhi keperluan mereka.

“Mesra” bukan hanya terletak pada senyuman di wajah, tetapi lebih kepada kehadiran yang tulus, tindakan yang mempermudah urusan rakyat, dan pendekatan yang inklusif serta penuh empati.

Beliau berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat, tanpa membezakan kaum, agama, atau latar belakang sosial, serta menekankan perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat setempat.

Afdlin berkata, cabang parti seharusnya menjadi tempat di mana masyarakat mendapatkan pembelaan dan penyelesaian masalah, bukan hanya sebuah struktur organisasi.

“Saya cabang perlu dipimpin oleh individu yang benar-benar mempunyai masa dan komitmen untuk turun padang, mendengar keluhan rakyat dan melaksanakan solusi dengan berkesan.

“Saya percaya kepimpinan cabang harus berfokuskan pada pembangunan insan, dengan memberi perhatian kepada golongan muda, wanita, warga emas, serta komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

“Ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Afdlin menegaskan kepentingan budaya kepimpinan yang telus, jujur, dan berpasukan.

“Dalam era di mana rakyat semakin skeptikal terhadap politikus, saya berpendapat pemimpin masa kini harus menunjukkan integriti bukan hanya melalui kata-kata, tetapi juga melalui tindakan nyata.

“Pemimpin yang berintegriti harus berada di sisi rakyat, bukan hanya ketika waktu pengundian, tetapi lebih-lebih lagi ketika rakyat memerlukan bantuan.

“Penglibatan saya dalam politik bukanlah untuk bersaing atau menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk memberi pilihan yang lebih baik kepada ahli parti.

“Dengan niat yang tulus, saya berharap dapat membawa cabang Setiawangsa ke arah yang lebih mampan, berdaya saing, dan relevan, serta memastikan ia menjadi contoh kepada kawasan-kawasan lain,” katanya.

Afdlin berkata, beliau hadir bukan untuk berjanji, tetapi untuk terus berbakti.

“Sudah lama saya bersama masyarakat tanpa gelaran dan pangkat, kini saya hanya memohon mandat agar dapat meluaskan lagi khidmat saya dengan lebih tersusun dan sistematik,” katanya.

Dengan semangat reformasi dan tekad untuk berkhidmat, Afdlin menyeru semua ahli PKR di Setiawangsa untuk turun mengundi dan membuat pilihan dengan hati.

Beliau mengajak mereka memilih kepimpinan yang bukan hanya memahami perjuangan rakyat, tetapi juga merasai kesusahan mereka.

Kepimpinan yang akan sentiasa hadir untuk mendengar, membantu, dan berada di sisi rakyat, dalam setiap keadaan.

Dengan harapan untuk mencipta perubahan yang lebih besar dan berkesan di Setiawangsa, Afdlin terus mempersiapkan diri untuk memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular