28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 22, 2025

Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020: Detik bersejarah bakal disaksikan di Menara Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Detik bersejarah yang telah dinanti-nantikan selama hampir tiga dekad bakal direalisasikan apabila satu daripada lima Kapsul Masa Wawasan 2020 dijadualkan untuk dibuka secara rasmi pada 13 April 2025, esok, di Menara Kuala Lumpur.

Majlis penuh simbolik dan bermakna ini dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dengan kerjasama Hydroshoppe Sdn. Bhd.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh negara, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, dalam sebuah acara yang juga menyambut kemeriahan Aidilfitri menerusi Majlis Raikan Raya.

Jemputan rasmi telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta seluruh barisan Jemaah Menteri pada penggal semasa dan juga mantan menteri Kabinet dari Parlimen Malaysia ke-9.

Majlis ini turut mengundang wakil-wakil dari kementerian, agensi kerajaan, kedutaan asing di Malaysia, dewan-dewan perniagaan pelbagai kaum, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memeriahkan lagi acara yang penuh bersejarah ini.

Pengarah Urusan MKLSB, Dato’ Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, sambutan yang dijangka akan dihadiri oleh masyarakat pelbagai lapisan ini bakal menjadi medan penyatuan yang mencerminkan semangat nasionalisme serta penghargaan terhadap warisan idea dan visi negara.

“Pembukaan kapsul ini adalah lambang kesinambungan sejarah dan impian besar negara yang digagaskan melalui Wawasan 2020.

“Kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada detik ini dan berharap rakyat Malaysia juga akan bersama-sama kami menyaksikan pendedahan yang pastinya penuh simbolik dan nilai sejarah,” katanya.

Kapsul Masa Wawasan 2020 telah ditanam lebih dua dekad lalu sebagai simbol aspirasi masa depan negara.

Meskipun negara telah melalui beberapa fasa pemerintahan dan Perdana Menteri, kapsul berkenaan kekal belum dibuka termasuk ketika Tun Dr. Mahathir kembali menerajui pentadbiran negara buat kali kedua.

Pembukaan kapsul pada 13 April ini menandakan pertama kali ia didedahkan kepada umum sejak ia ditanam.

Seluruh warga kerja MKLSB, termasuk mereka yang telah bersara, menyatakan keterujaan untuk mengetahui kandungan kapsul yang menjadi tanda aras impian dan perancangan masa hadapan negara pada era lalu.

Kandungannya dijangka membuka lembaran pemikiran dan mencerminkan harapan masa silam terhadap Malaysia moden hari ini.

Sebagai simbol keterbukaan dan keterangkuman, MKLSB turut mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia pada hari bersejarah itu.

Menara Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa dan terbuka kepada semua pengunjung dari dalam dan luar negara yang ingin menjadi saksi kepada pembukaan kapsul serta turut serta dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan bersama tokoh-tokoh negara.

Majlis ini bukan sekadar pembukaan kapsul, tetapi suatu penghormatan kepada legasi pemikiran terdahulu dan titik pertemuan antara impian lalu dan realiti hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular