27.8 C
Kuala Lumpur
Monday, March 9, 2026

Kebakaran di Putra Heights: Prasarana sediakan perkhidmatan van Rapid KL On-Demand percuma untuk mangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporatnya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui program Prasarana Prihatin telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan perkhidmatan van Rapid KL On-Demand secara percuma untuk membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.

Perkhidmatan ini akan bermula 3 April 2025 dan berterusan sehingga situasi di kawasan terjejas kembali stabil.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, sebanyak enam buah van disediakan untuk memberikan kemudahan pengangkutan percuma dari Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Putra Heights ke kawasan perumahan sekitar Putra Heights, Kampung Puchong Tengah, dan Kampung Kuala Sungai Baru.

“Perkhidmatan ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan mangsa bagi mengambil barangan keperluan harian dan dokumen penting mereka dari rumah, sementara mereka ditempatkan di PPS.

“Selain daripada kapten bas, pasukan pegawai pengawal trafik serta polis bantuan turut akan berada di lokasi untuk memastikan pergerakan berjalan lancar dan mengatur pengangkutan komuniti dari serta ke PPS,” katanya.

Prasarana turut bekerjasama rapat dengan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bagi memastikan keperluan mobiliti mangsa diuruskan dengan cekap dan teratur.

“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan Prasarana dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai penyedia pengangkutan awam yang bukan hanya menumpukan kepada mobiliti harian rakyat, tetapi juga mengambil berat terhadap komuniti dalam saat-saat sukar.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami bertekad untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan kami sentiasa dapat membantu komuniti yang memerlukan, terutamanya dalam keadaan kecemasan seperti ini.

“Kami berharap inisiatif ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mangsa yang terkesan akibat insiden kebakaran ini,” kata kenyataan itu lagi.

Inisiatif Prasarana Prihatin ini adalah salah satu usaha berterusan Prasarana dalam memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat, terutamanya ketika mereka berdepan dengan cabaran kehidupan yang sukar.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular