editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penjelajah Grand Slam Negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, lebih dikenali sebagai Qobin, bersama pelakon drama dan penggiat seni, Amar Baharin, akan memulakan kembara berbasikal ke Tanah Suci Mekah pada 27 April ini.
Kayuhan yang penuh makna ini akan bermula dari Arau, Perlis, dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, yang akan melepaskan mereka pada hari berkenaan.
Amar berkata, idea untuk kayuhan ini tercetus selepas beliau dan Qobin sering melakukan aktiviti berbasikal sejauh 200 kilometer setiap minggu.
“Kami berkayuh antara 100 hingga 200 kilometer setiap minggu, jadi tidak mustahil untuk kami berkayuh ke Tanah Haram,” katanya.

Sementara itu, Qobin berkata, perjalanan mereka akan dimulakan dari Perlis menuju Bangkok, Thailand, sebelum mereka terbang ke India.
Dari India, mereka akan meneruskan perjalanan berbasikal melalui sempadan Pakistan, Iran, UAE, sebelum tiba di Arab Saudi.
Mereka memilih untuk tidak melalui Myanmar dan Bangladesh disebabkan ketegangan politik yang berlaku di kedua-dua negara itu, seperti yang disarankan oleh beberapa pengembara sebelum ini.
Misi mereka bukan bertujuan untuk mencipta rekod, tetapi lebih kepada impian untuk mengembara ke Mekah dengan cara yang lebih bermakna.
“Ini adalah impian kami untuk sampai ke Tanah Suci dengan cara yang berbeza dan lebih bermakna,” kata Qobin.
Amar pula berharap perjalanan mereka diberkati.
“Doakan agar perjalanan kami selamat, diberikan kekuatan dalam setiap kayuhan, dan kami berjaya sampai ke Mekah dengan umrah yang mabrur,” katanya.
Kedua-dua pengembara ini merancang untuk berkayuh antara 80 hingga 120 kilometer sehari dan menjangkakan bahawa perjalanan akan mengambil masa antara 2 hingga 2 bulan setengah untuk sampai ke Mekah.
Mereka akan membiayai kembara ini menggunakan dana sendiri.
Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan perjalanan mereka dan menyokong usaha ini, layari laman sesawang rasmi di www.qanda.my (akan aktif pada awal April 2025), serta ikuti platform media sosial seperti Tiktok, YouTube, Instagram, dan Facebook peribadi Qobin dan Amar.