editormaxinfo@gmail.com
Putra Heights – Bekalan roti jenama Massimo dijangka terjejas bermula 4 April 2025 berikutan insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu.
Gangguan ini disebabkan oleh penangguhan bekalan gas asli cecair (LNG) ke kilang pengeluaran Massimo selepas pihak pembekal terpaksa menghentikan penghantaran bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilakukan.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh The Italian Baker Sdn Bhd, pihak pengurusan memaklumkan gangguan bekalan gas ini telah menyebabkan pengeluaran produk bakeri mereka terhenti sementara, yang mana berkemungkinan mengakibatkan keterbatasan bekalan roti Massimo di pasaran.
Tempoh gangguan ini dijangka berterusan sehingga tarikh yang akan diumumkan kemudian.
“Kami ingin memaklumkan bahawa akibat gangguan ini, ketersediaan produk bakeri kami di pasaran mungkin terhad bermula 4 April 2025.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan amat menghargai sokongan daripada semua pelanggan kami,” kata pihak pengurusan dalam kenyataan berkenaan.
Bagi pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-22-6688.
Pihak Massimo juga akan terus memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi ini melalui saluran media sosial rasmi Massimo Bread.

